Pilih Bahasa

Tarik balik gelaran ‘Datuk’ Zulkarnain Mahdar – Warisan Sepanggar

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Pihak polis perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pro-Barisan Nasional (BN) Datuk Zulkarnian Mahdar yang dilihat cuba mencemarkan nama baik Istana Negeri Sabah apabila menghina Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Ahli Jawatankuasa Biro Keselamatan Warisan Bahagian Sepanggar, Sabar Dasad berkata ini termasuk mencadangkan agar pihak Istana Negeri Sabah menarik balik gelaran ‘Datuk’ yang diterima Zulkarnain.

Sabar bersama Junior menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat petang tadi. Gambar SNT/Zakaria Damit

Katanya tindakan Zulkarnain ini boleh menimbulkan kemarahan rakyat di Sabah apabila beliau cuba menimbulkan provokasi agar membenci institusi Istana di negeri ini.

“Kami mohon agar pihak berkuasa memgambil tindakan drastik berikutan sudah ada beberapa laporan polis dibuat sejak perkara ini berlaku malam tadi.

“Kita mengesa agar lebih ramai lagi pemimpin atau mana-mana individu tampil membuat laporan polis agar tindakan dapat diambil dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing di sini petang tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Wira Bahagian Sepanggar Junior Julius.

Sabar berkata TYT adalah tidak menyebelahi mana-mana pihak manakala tuduhan yang dilemparkan oleh Zulkarnain Mahdar adalah mencemarkan nama baik Istana Negeri Sabah sekaligus menimbulkan kemarahan rakyat di negeri ini.

“Mengikut perlembagaan negeri Sabah ini menjelaskan bahawa Yang Dipertua Negeri Sabah mempunyai kuasa penuh dan beliau bukan orang biasa yang boleh dilayan tanpa rasa hormat sekaligus dipermainkan oleh Zulkarnain ini,” katanya.-SabahNewsToday