Pilih Bahasa

TDM akan menubuhkan lembaga siasatan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: “Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM),” kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menerusi kenyataan mediannya hari ini.

Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Semoga keluarga redha dan sabar dengan ujian Allah SWT dan menyifatkan allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau,” katanya.

Tambah beliau lagi, TDM sudah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa.

“TDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataa media, TDM mengesahkan insiden kematian seorang Pegawai TDM yang meninggal dunia ketika latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia yang berlangsung di Kem Lok Kawi, di sini, pagi tadi.

Latihan demonstrasi keupayaan berkenaan dilaksanakan bermula pada 26
Ogos 19 yang lalu. Bagaimanapun pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka.

Allahyarham yang merupakan bapa kepada lima anak berusia antara 9 tahun hingga 5 bulan berasal dari Kuala Lumpur. -SabahNewsToday