Pilih Bahasa

Tekanan politik tidak lemahkan semangat Warisan dan sekutu

Oleh Sabah News Today

SEMPORNA: Tekanan politik yang dihadapi parti Warisan dan sekutunya ketika ini tidak akan melemahkan semangat perjuangan semua ahli sebaliknya meningkatkan keyakinan untuk terus kuat menghadapi cabaran dari pihak lawan.

Demikian menurut Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong yang menyeru semua ahli dan para pejuang parti terus meningkatkan keupayaan dan mendisiplinkan diri serta merapatkan hubungan silaturahim sesama sendiri.

Jaujan berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Semporna hari ini. Gambar SNT/Ihsan Warisan

“Situasi politik di Sabah ketika ini sama seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang agak panas apabila berlaku peralihan kuasa kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH katanya menjadi sasaran sehingga berlaku lagi pertukaran pimpinan dan sekarang ianya berlaku di Sabah selepas pelantikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sah dibawa ke mahkamah.

“Apabila Mahkamah Tinggi sudah buat keputusan dibawa pula ke Mahkamah Rayuan, dan akhirnya Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang sah, tak putus-putus (isu),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Semporna, di Dewan Masyarakat Semporna yang dihadiri 155 Cawangan.

Menurutnya, agenda pihak lawan berterusan sehingga saat ini apabila cuba merampas kuasa Kerajaan Negeri yang disifatkan terkeluar dari lunas peraturan sistem demokrasi yang selama ini menjadi dukungan setiap rakyat.

Jaujan bersama AJK Warisan bahagian Semporna. Gambar SNT/Ihsan Warisan

“(Tidak cukup) mereka mempengaruhi wakil rakyat di Parlimen, wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) pula menjadi sasaran dan akhirnya kita buat pilihan kembalikan kuasa kepada rakyat, kita bubar Dun dengan cara teratur,” katanya.

Bagaimanapun tindakan membubar Dun itu langsung tidak disenangi blok pembangkang sehingga tergamak menuduh Yang Dipertua Negeri (TYT) berat sebelah dan mengambil rasuah.

“TYT sudah mendengar apa sebab kita bubar Dun, sudah diterangkan satu persatu, kalau kita tidak bubar Dun sudah tentu rakyat akan terheret dengan pergolakan yang akhirnya membawa kepada suasana tidak baik.

“Sedangkan tujuan kita untuk mentadbir negeri, kita mahu bangunkan Sabah, tingkatkan ekonomi, rakyat dapat hidup dengan baik aman damai tetapi masih juga bergolak akibat kerakusan dan ketidakpuasan hati menolak kuasa rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat berfikir sama ada perlu menerima pemimpin seperti itu yang sudah tidak memikirkan dan mencabul undang-undang negara.-SabahNewsToday