Pilih Bahasa

Tekong cedera ditembak berhampiran Pulau Tambisan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jurangan bot tunda, Didi mendapatkan rawatan setelah terkena tembakan dari sekumpulan lelaki lengkap bersenjata di Pegasus Reef, Kinabatangan. Gambar SNT/Ehsan Sumber

KOTA KINABALU: Seorang tekong bot tunda ditembak di paha dalam insiden cubaan rompakan oleh sekumpulan empat lelaki bertopeng dipercayai warga asing di Pegasus Reef, berhampiran Pulau Tambisan semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 7.32 petang ke atas sebuah kapal tunda Magtrans II yang membawa 13 anak kapal dikatakan telah dihampiri suspek yang menaiki bot laju dan melepaskan dua das tembakan ke arah bot mangsa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata salah satu daripada dua das tembakan yang dilepaskan oleh suspek telah terkena mangsa yang dikenali sebagai Diddy Saviady berusia dalam 40-an.

“Pengadu (kru kapal) memberitahu selepas kejadian tersebut, 13 anak kapal tersebut telah bersembunyi di dalam kapal dan mengunci kesemua pintu. Kemudian bot suspek telah menghampiri dan seterusnya menaiki bot mangsa.

Bot tunda Magtrans 2 yang naiki oleh lelaki lengkap bersenjata di Pegasus Reef, Kinabatangan. Gambar SNT/Ehsan Sumber

“Pengadu yang berada di tingkat tiga kapal telah bertindak keluar dan melepaskan tembakan kepada suspek menggunakan `Parasut Signal’ lebih kurang 10 das.

“Apabila tembakan tersebut dilepaskan, keempat-empat suspek yang menaiki kapal telah melarikan diri dan terjun ke laut seterusnya melarikan diri menaiki bot mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Omar berkata pasukan Polis Marin telah memberikan bantuan dan membawa mangsa yang terkena tembakan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Beliau turut mengesahkan bahawa keempat-empat suspek berpakain hitam itu membawa senjata api.

Tambah beliau lagi polis masih mengumpul bahan bukti berhubung kejadian itu manakala identiti keempat-empat suspek belum dikenalpasti sepenuhnya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971. – SabahNewsToday