Pilih Bahasa

Teliti status Kampung Forest, Jalan Buli Sim-Sim: Ketua Menteri

Oleh Chris Maskilone

SANDAKAN: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah diarahkan untuk meneliti status perkampungan di Kampung Forest, Jalan Buli Sim-Sim dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengarahkan langkah itu diambil untuk membolehkan pihak Kerajaan Negeri dapat menyediakan kemudahan yang bersesuaian kepada penduduk kampung di masa akan datang.

Mohd Shafie disambut penduduk Kampung Forest. Gambar SNT/Ihsan JKM

Untuk rekod, Kampung Forest merupakan perkampungan berstatus penempatan setinggan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Elopura.

“Tentang perkampungan ini dan dari segi tanah yang mereka duduki hari ini, mereka masih duduk dalam ketentuan dia saya akan minta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong untuk menyiasat lanjut tentang perkara ini.

“Untuk membolehkan dari mana kita dapat menyediakan kemudahan kepada penduduk kampung di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ketua Menteri Sabah bersama penduduk Kampung Forest, Jalan Buli Sim-Sim, Sandakan, hari ini.

Mohd Shafie berucap di Kampung Forest. Gambar SNT/Ihsan JKM

Mengulas mengenai status geran, Mohd Shafie berkata, pihaknya dijangka akan memberikan geran tanah yang bermungkinan diagihkan sepanjang bulan Ramadan ini kepada mereka yang layak berbuat demikian.

“Kerajaan hari ini sudah nyatakan akan bantu penduduk kampung, prosesnya sedang berjalan, Insyallah mungkin dalam bulan puasa, selepas kita memberikan geran tanah kepada penduduk kampung di merata tempat, yang telah pun memohon dalam lingkungan 60 tahun, 50 tahun mereka yang mempunyai asas mereka telah duduk di kampung-kampung itu sekian lama.

“Saya telah minta dengan pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, saya ingat mereka tengah sibuk untuk menyediakan proses ini, sedikit masa kita agih-agihkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu sampah sarap di penempatan atas air Kampung Forest, beliau berkata pihaknya sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Dari segi sampah sarap yang ada ini, saya telah minta Majlis Perbandaran Sandakan pastikan kita tingkatkan gerakan pembersihan, tadi di Pulau Berhala pun begitu, walaupun penduduk kampung sudah berusaha, saya yakin kita akan atasi,” katanya.-SabahNewsToday