Pilih Bahasa

TEMA SAYANGI MALAYSIAKU TUNJUK PENTINGNYA PERPADUAN RAKYAT : NOORITA

Oleh Chris Maskilone

Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual (tengah) dengan ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar serta pegawai kanan kerajaan Tenom di sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Tenom hari ini. Gambar SNT

TENOM: Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama bersatu padu untuk menentukan masa depan negara yang tepat.

Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual berkata, tema yang dipilih lebih bersifat perpaduan dan berorientasikan kepada patriotisme dan kesatuan negara bangsa.

Ianya juga memberikan peringatan kepada rakyat akan kepentingan bersatu dalam mempertahankan negara disamping mewujudkan kesedaran rasa sayang dan cintakan negara, katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Tenom di Padang Bandaran di sini hari ini.

Noorita berkata, walaupun kerajaan terdahulu terdapat pelbagai penyalahgunaan kuasa, hutang negara meningkat dan beban hidup rakyat semakin tinggi namun diatas sokongan padu rakyat kerajaan baru dapat dibentuk dan dapat mengatasi masalah itu dalam keadaan negara aman dan damai.

“Bagi saya, rakyat berhak memilih dan meraikan kemenangan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara untuk menunjukkan semangat cintakan negara kerana akhirnya negara berjaya diselamatkan oleh rakyat.

Kontinjen yang mengikuti perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Tenom di Padang Bandaran di sini hari ini. Gambar SNT

“Dalam pentadbiran kerajaan baharu ini, marilah bersama-sama saya untuk membangunkan penduduk di kawasan Tenom tidak kira dari sudut ekonomi, sosial, kemudahan prasarana dan sebagainya kerana saya memerlukan sokongan dan doa daripada anda semua,” jelasnya.

Turut hadir Adun Kemabong Jamawi Jaafar, ADO Puin Pinduruh, para pegawai ersekutuan dan negeri.

Dianggarkan lebih kurang 500 orang menyertai perbarisan mewakili kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan di daerah ini.-SabahNewsToday