Pilih Bahasa

Tempahan baju raya berkurangan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Ketibaan bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri saban tahun pastinya menjadi lubuk rezeki berganda buat tukang jahit pakaian.

Bagaimanapun, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19, tempahan baju raya dalam kalangan tukang jahit di bandar raya ini mengalami penurunan.

Fatin Syahirah meneliti baju raya pelanggannya yang sudah siap dijahit. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Tukang jahit berpengalaman, Fatin Syahirah Mohd Saufee, 27, berkata ada dalam kalangan  pelanggannya terpaksa membatalkan tempahan baju raya berikutan faktor kewangan ekoran PKP.

“Beberapa pelanggan tidak dapat keluar rumah bagi menghantar kain untuk ditempah kepada saya.

“Terfikir untuk datang ke rumah pelanggan untuk mengambil ukuran badan serta kain tetapi memikirkan semula berkaitan kesihatan, saya tidak meneruskan niat berkenaan,” katanta ketika dihubungi, baru-baru ini.

Fatin Syahirah berkata sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu, dia mengalami penurunan pendapatan sehingga 60 peratus berbanding tahun lalu.

Fatin Syahirah giat menyiapkan tempahan baju raya pelanggannya di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Menurutnya, dia hanya menerima tempahan baju raya kira-kira 25 pasang sahaja dan semuanya diterima sebelum kerajaan menguatkuasakan PKP.

“Semua pelanggan yang membatalkan tempahan ini adalah pelanggan masih belum menghantar kain mereka.

“Tetapi semua pelanggan yang sudah menghantar kain meminta untuk meneruskan tempahan,” katanya.

Dalam pada itu, Fatin Syahirah yang sudah bergiat aktif selama empat dalam bidang jahitan menyatakan penutupan kedai menjual peralatan jahitan turut menjejaskan proses menyiapkan tempahan baju raya pelanggan berikutan kesukaran mendapatkan barangan keperluan jahitan.

“Saya terpaksa membeli keperluan jahitan secara pembelian atas talian dan terpaksa menunggu hingga seminggu untuk mendapatkan barangan yang dibeli.

“Situasi ini secara tidak langsung melambatkan proses menjahit kerana saya tiada barang yang diperlukan dan banyak masa terbuang sementara menunggu barang dibeli tiba selain jangkaan masa untuk menyiapkan setiap baju pelanggan juga tersasar.

“Tambahan pula, kualiti barang juga adakalanya berbeza berbanding keperluan yang saya beli sendiri di kedai jahitan. Ia boleh menjejaskan kualiti jahitan saya kerana pelanggan pasti akan melihatnya setiap kali membuat tempahan,” katanya. -SabahNewsToday