Pilih Bahasa

Tentera Laut AS adakan lawatan amal ke Seri Mengasih Tanjung Aru

Oleh Alfred Petrus

Tentera Laut AS bersama dengan pelajar dan kakitangan Pusat Seri Mengasih Tanjung Aru merakamkan gambar kenangan bersama. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang membuat persinggahan pelayaran pada kelmarin, mengadakan lawatan amal ke sekolah Seri Mengasih Tanjung Aru, hari ini.

Kaunselor Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat di Kota Kinabalu, Bradley A. Hurst berkata ia adalah aktiviti yang selalu dilakukan oleh pelayaran tentera laut AS di sini.

“Ini adalah satu peluang apabila kapal pelayaran mereka membuat persinggahan di mana-mana sahaja dan melakukan kerja atau lawatan amal bersama komuniti setempat.

“Kita sangat bernasib baik kerana satu kumpulan besar pelayaran tentera laut AS membuat lawatan amal ke Pusat Seri Mengasih dan berjumpa dengan pelajar-pelajarnya dengan mengadakan beberapa aktiviti.

“Jadi inilah apa yang pihak kedutaan AS anjurkan kepada mereka apabila datang ke Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Amal Tentera Laut AS ke Sekolah Seri Mengasih, Tanjung Aru, hari ini.

Beliau berkata di pihak kedutaannya, mereka menyediakan fasiliti dan perhubungan antara kapal-kapal AS yang akan membuat persinggahan di negeri ini.

Katanya banyak program yang telah dirancang untuk tentera-tentera laut AS yang datang sejak dahulu lagi.

“Sudah pasti mereka berada di laut agak lama dalam pelayaran kerana misi yang amat penting.

“Dengan persinggahan mereka ini dapat memberikan masa kepada mereka untuk bersama dengan komuniti dalam pelbagai acara seperti melakukan amal.

“Dan ini bukanlah pertama kali kami anjurkan sebegini, kerana persinggahan ini juga pernah dilakukan di Kuching, Sandakan mahupun Lahad Datu,” katanya. -SabahNewsToday