Pilih Bahasa

Tentukan status pemegang kad pengenalan terlebih dahulu sebelum laksana daftar pemilih automatik: Madius

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Upko menyokong penuh pindaan rang undang-undang Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Namun bagi cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pendaftaran secara automatik bagi setiap rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun, Upko mahu cadangannya untuk menarik semula kad pengenalan Malaysia yang dikeluarkan di Sabah dibuat terlebih dahulu.

Madius Tangau. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Bagi Upko secara khususnya, sememangnya pengiktirafan terhadap penglibatan generasi muda sudah kami lakukan lebih 15 tahun yang lalu apabila Majlis Tertinggi Upko bersetuju untuk mewujudkan Pergerakan Komulakan bagi belia beliawanis berumur 18 hingga 35 tahun. Justeru, kami tidak ada halangan menyokong pindaan ini,” kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga adalah presiden Upko.

Beliau berkata demikian ketika turut serta dalam membahaskan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 itu di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata Upko menggesa semua kad pengenalan Malaysia untuk warga Sabah dan hanya dikeluarkan semula selepas saringan terhadap status pemilik dokumen iu di selesaikan.

Sebaiknya ia dibuat sebelum pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan  oleh SPR, terutamanya di Sabah.

“Bagi saya dan saya percaya majoriti Ahli Dewan Rakyat dari Sabah, pelaksanaan itu sebaiknya hanya dilakukan selepas Kerajaan menunaikan semua cadangan serta usul dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja atau RCI mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Sebelum pendaftaran pemilih dijalankan secara automatik, kami menggesa Kerajaan untuk terlebih dahulu melakukan, dengan izin, ‘a total recall of all Malaysian ICs in Sabah and re-issuing it only after stringent screening by all stakeholders’.

“Jabatan Pendaftaran sudah beberapa kali menukar dan membuat penambahbaikan kepada kad pengenalan kita … maka tidak ada alasan mengapa usul Upko ini dan suara ramai tidak dapat dilaksanakan terutama di Sabah,” tambah beliau.

“Ia mungkin memakan masa beberapa bulan, atau pun tahun, namun Upko percaya ini sahajalah penyelesaian tuntas untuk isu Pendatang Tanpa Izin (PTI). Lagipun, piliharaya umum di Sabah hanya akan diadakan tiga tahun daripada sekarang; jadi kita ada masa untuk melakukannya.”

Madius yang juga adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah menerangkan bahawa data pertambahan penduduk Bumiputera Sabah dari tahun 1960 hingga 2000 menunjukkan peningkatan luarbiasa iaitu sebanyak 417 peratus atau sama seperti sepasang suami isteri menghasilkan 834 anak dalam tempoh 40 tahun.

“Yang paling menakjubkan lagi adalah pertambahan penduduk kaum Bumiputera Melayu di Sabah iaitu sebanyak 18,350 peratus dalam tempoh yang sama.

“Ini bermakna, pasangan (kaum Bumiputera Melayu) yang berkahwin pada tahun 1960 telah menghasilkan 36,700 zuriat dalam tempoh masa 40 tahun sahaja!

“Menurut perangkaan rasmi, kadar kelahiran di Sabah hanyalah 13.7 peratus,” kata Madius.

Beliau juga bertanya apakah usaha Kerajaan Pakatan Harapan terhadap usul dan cadangan RCI yang sudah pun dibentangkan di Parlimen tiga tahun lalu.-SabahNewsToday