Pilih Bahasa

TERAJU pertingkatkan penyertaan Bumiputera Sabah dalam keusahawanan

KOTA KINABALU, 30 Ogos — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebuah entiti strategik di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meningkatkan serta memperkukuhkan penyertaan Bumiputera Sabah dalam pelbagai bidang keusahawanan dan perniagaan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Megat Mohd Yatim Megat Hamid, komitmen itu dibuktikan melalui pelaksanaan insiatif pembangunan Bumiputera Sabah yang dimulakan pada 2012 menerusi jalinan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri termasuk Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah dan Yayasan Sabah.

“Jalinan kerjasama strategik ini telah menyediakan platform kepada TERAJU bagi mengenal pasti peluang pertumbuhan ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Bumiputera khususnya komuniti perniagaan Bumiputera di Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Galleria Artisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri oleh Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiran Mohd Zakaria.

Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) yang dikendalikan TERAJU telah memperuntukkan sebanyak RM32.5 juta bagi menggerakkan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan Bumiputera Sabah yang dijalankan bersama rakan strategik TERAJU. 

Projek menaik taraf Galleria Artisan di PPNS adalah satu daripada inisiatif di bawah program DPUB yang melibatkan kos RM2 juta bertujuan mengetengahkan karya dan produk seni kraf tempatan yang mampu memberi kesan rantaian positif terhadap pembangunan usahawan Bumiputera di Sabah selain penciptaan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Nilai tambah sosial seumpama itu adalah antara elemen penting yang menyumbang ke arah usaha transformasi ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera, dan pada masa sama, menjadi antara teras utama yang ditekankan dalam setiap inisiatif, program atau kerjasama strategik di bawah TERAJU, katanya.

“Antara insiatif lain yang dijalankan di bawah program DPUB termasuk penyediaan suntikan dana kewangan dan aktiviti pembangunan kapasiti usahawan bumiputera Sabah serta projek pembinaan semula Anjung Selera Tanjung Lipat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TERAJU juga telah memilih sebanyak 51 syarikat Bumiputera di Sabah yang dikategorikan sebagai syarikat berprestasi tinggi dan berdaya saing untuk diperkasakan menerusi Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS).

Daripada jumlah itu, sebanyak 10 syarikat menerima sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan pembiayaan perniagaan Dana Teras berjumlah RM11.4 juta dan secara tidak langsung memberi peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera Sabah mendapat akses kepada peluang pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan, katanya.

Megat berkata TERAJU juga giat memangkin penyertaan syarikat Bumiputera Sabah dalam pengendalian projek berskala besar apabila sebanyak 75 projek bersamaan dengan RM187.13 juta dana Mudahcara telah diluluskan dengan nilai kos projek berjumlah RM1.37 bilion.

“Projek-projek yang diusahakan melalui hasil sokongan dana Mudahcara ini telah mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan sejak ia mula diperkenalkan pada 2012,” katanya.

Dana Mudahcara diwujudkan secara usaha sama dengan Unit Kerjasama Awam Swasta, bertujuan bagi merangsang syarikat Bumiputera untuk mengendalikan projek-projek berskala besar di bawah projek pelaburan swasta meliputi pelbagai sektor di bawah bidang keberhasilan utama negara.

Syarikat Kotamas Oil Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik kepada industri minyak dan gas, merupakan antara syarikat yang menerima geran dana Mudahcara sebanyak RM1.16 juta untuk meningkatkan kapasiti pengurusan armada mereka bagi penghantaran bahan api ke seluruh Sabah.

“Dana Mudahcara TERAJU telah membuka banyak peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera di Sabah untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi lain di dalam perolehan projek-projek mega negara dan di peringkat negeri,” katanya.

— BERNAMA