Pilih Bahasa

Terdapat cubaan musuh lumpuh Umno dari dalam: Jainab

KOTA KINABALU: Media sosial selain media konvensional kini menjadi platform penyaluran maklumat yang cepat kepada orang ramai namun terdapat segelintir yang menggunakannya untuk memporak-perandakan keadaan melalui penyebaran berita palsu.

Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Dr Hajah Jainab Ahmad Ayid berkata terdapat segelintir pihak yang cenderung menjadikan media sosial sebagai medan untuk mereka menghebahkan berita palsu sama ada melalui pengolahan susunan laporan ataupun penggubahan gambar.

Datuk Jainab Ahmad Ayid. Gambar Fail SNT

Kumpulan ini turut memuatnaik klip video yang sudah diedit bagi tujuan mengelirukan umum, ujarnya.

“Mereka ini yang dipanggil cyber troopers (Cytro) diupah oleh pihak-pihak tertentu bagi menjalankan agenda mereka. Para Cytro ini mempunyai sasaran tertentu yang mereka ingin kucar-kacirkan,” katanya.

Menurut beliau, sudah beberapa tahun Cytro sebegini bergerak aktif di media sosial malah mereka telah memulakan langkah memburuk-burukkan keadaan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional lalu.

“Semasa saya masih memegang portfolio Menteri kabinet Sabah dahulu pun, saya memberikan nasihat yang sama berulang kali bahawa setiap apa yang diterima berkenaan sesuatu itu mestilah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu.

“Semak dahulu samada ianya fakta yang benar atau yang sudah di sunting … bukannya tergesa-gesa untuk pos hanya kerana mahu menunjukkan yang anda lebih pantas dari orang lain sehingga akhirnya apa yang anda poskan di itu adalah fakta yang tidak benar.

“Kadang-kadang maklumat yang kita terima itu masih dalam peringkat cadangan ataupun perbincangan tetapi tiris lebih awal lalu ditularkan hingga menyebabkan timbulnya salah faham dan kekeliruan,” ujar Jainab.

Sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah dalam kerajaan negeri sebelum ini, Jainab tidak menolak kemungkinan terdapat gerakan-gerakan tertentu cytro ini di dalam Umno itu sendiri dengan tujuan untuk mengadu domba pemimpin tertentu.

“Umno sudah mengesan gerakan ini sejak beberapa lama dan sering memantau aktiviti mereka kerana mereka ini bertujuan untuk melemahkan Umno dari dalam.

“Mereka sudah cuba melumpuhkan Umno dan Muafakat Nasional dari sudut luar tetapi ternyata Muafakat Nasional tetap kuat dan semakin gagah pula sehingga mereka mencari cara dan jalan lain umpama sang anai-anai,” ujarnya lagi.

Katanya para cytro ini berjaya dikesan kerana mereka sukar menembusi akar umbi Umno yang kuat.

“Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua Ketua Wanita Bahagian serta Ahli Jawatankuasa mengambil langkah berwaspada selalu dengan taktik dalaman mereka ini.

Jainab mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam parti yang membentuk Cyberwar Team dengan tujuan mahu melemahkan Umno dan Muafakat Nasional

Kumpulan ini aktif menubuhkan Grup WhatsApp dengan memasukkan pemimpin yang mereka kehendaki sebagai ahli dalam grup yang turut disertai penyamar mereka untuk beraksi kononnya sebagai suara dari akar umbi samada menggunakan nama palsu ataupun nama orang lain.-SabahNewsToday