Pilih Bahasa

Terlanggar lopak air, pacuan empat roda terbabas rempuh pondok pengawal keselamatan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang doktor lelaki terbabit kemalangan selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar pondok pengawal keselamatan Taman Perumahan di Batu 8 Jalan Apas, 1.15 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa berusia 33 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dipandu seorang doktor hilang kawalan ketika terlanggar lopak air sebelum merempuh pondok pengawal keselamatan taman perumahan di Batu8 Jalan Apas, 1.15 tengah hari tadi. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari Bandar Sri Indah menuju ke Bandar Tawau.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa terlanggar lopak air di atas permukaan jalanraya sehingga mengakibatkan mangsa mangsa gagal mengawal pemanduan.

“Akibat kejadian itu, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sebelum merempuh pondok pengawal keselamatan dan tiang pintu pagar utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan pondok pengawal keselamatan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Fadil berkata, kemalangan tersebut turut mengakibatkan sebahagian daripada pondok pengawal keselamatan rosak manakala kenderaan pacuan empat roda terbabit mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan.

“Kes tersebut disiasat dibawah Rule 10 LN 166/59,” katanya. – SabahNewsToday