Pilih Bahasa

TERMINAL MAKANAN NEGERI DIBINA DI TAWAU

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membina sebuah Terminal Makanan Negeri di Tawau yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan borong hasil pertanian negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kewujudan terminal itu mampu merancakkan lagi industri makanan di negeri ini dengan hasil buah-buahan dan sayuran tempatan diperluaskan untuk pasaran dalam dan luar negara.

Mohd Shafie berkata, sebagai pusat pengumpulan produk pertanian, terminal itu mampu memberikan impak besar terutama peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri khususnya di Tawau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT/Ehsan Penerangan Sabah

“Saya sudah meminta Yayasan Sabah (YS) supaya mengenal pasti tanah yang sesuai di Tawau kerana daerah itu mempunyai kawasan tanah yang subur dan membolehkan para petani kita menanam buah-buahan dan sayuran.

“Saya juga telah meminta Malaysia Airport Berhad (MAB) untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau supaya lebih luas dan dapat menampung operasi pengeskportan makanan daripada terminal itu nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini.

Lebih 1,000 penerima bantuan yang bakal melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dalam dan luar menerima RM1,000 dan RM2,000 daripada kerajaan negeri.-SabahNewsToday