Pilih Bahasa

Terserah kepada SPRM untuk siasat, termasuk akaun peribadi: Mohd Shafie

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan bahawa ia terserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugas mereka termasuk menyiasat akaun bank peribadi beliau.

“Ia terpulang kepada SPRM, mereka boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu.

“Termasuklah menyemak akaun bank peribadi saya,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengenai tindakan SPRM untuk mengkaji semula kes-kes yang telah ditutup atau diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut”.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Afdal. Gambar Fail SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam kenyataan tersebut, Jeffrey berharap antara kes-kes yang akan dikaji semula adalah kes rasuah melibatkan Mohd Shafie yang pernah ditahan untuk disoal siasat SPRM pada 2017.

Menurutnya, SPRM seharusnya membuka semula kertas siasatan terhadap tanah jualan RM155 juta kepada Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (Risda).

Kes terbabit melibatkan peguam Michael Persius Ubu, yang dilaporkan gagal hadir di pejabat SPRM walaupun dipanggil awal awal tahun lepas bersama Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony yang kini sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Peter ketika itu telah ditahan selama tiga hari, namun kes berkenaan tidak dapat diteruskan apabila gagal menjejaki Michael.

SPRM dilaporkan sedang menyiasat kes yang melibatkan pemimpin di Sarawak.

Setakat ini, hanya mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah.

Jeffrey juga disoal siasat oleh SPRM sejurus selepas Warisan membentuk kerajaan negeri pada 2018 atas tuduhan yang dibuat di media sosial bahawa beliau dibayar RM20 juta untuk bergabung dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Namun kes berkenaan tidak diteruskan selepas siasatan segera dibuat oleh SPRM.

Sementara itu, Mohd Shafie menyatakan bahawa beliau tidak mahu mengulas banyak perkara itu kerana beliau percaya pihak berkuasa lebih tahu tindakan yang perlu diambil.

“Mereka juga boleh menyiasat semula apa yang dilakukan oleh Jeffrey ketika dia menjadi pengarah Yayasan Sabah dahulu,” katanya. -SabahNewsToday