Pilih Bahasa

Terus memperjuangkan hak rakyat Sabah – Ketua Menteri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak negeri seiring terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia adalah salah satu janji utama Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke 14 untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.

Jaujan (kanan) beramah-mesra dengan para peserta seminar selepas majlis perasmian. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Menurut pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, salah satu janji kerajaan adalah memberikan kuasa kepada Sabah serta Sarawak selain meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

“Selain itu, pertumbuhan ekonomi negeri harus ditingkatkan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan kepada belia.

“Parti Warisan Sabah yang diteraju oleh saya sendiri juga memperjuangkan hak Sabah dalam MA63 dengan cara kita sendiri.

“Sekarang kita sudah membentuk kerajaan. Oleh itu, kita akan terus mengejar semua hak sepatutnya menjadi milik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Seminar On Strengthening and Restructuring The Critical and Core Institutions of Democracy in Malaysia from the Perspective of Sabah, dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong.

Bertempat di The Magellan Sutera Harbour Resort, seminar berkenaan disertai kira-kira 150 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau meminta semua rakyat negeri ini termasuklah pemimpin tempatan terus mengekalkan konsep demokrasi dalam segala perkara. -SabahNews Today