Pilih Bahasa

Teruskan amalan sedekah: Jamawi

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (dua dari kiri) bersama ahli badan dakwah daerah dan Usia Bahagian Tenom bermesra dengan penduduk kampung semasa ziarah ke beberapa buah kampung dalam kawasan DUN Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

TENOM: Bersedekah dan membantu golongan kurang bernasib baik bersempena bulan Ramadan ini adalah perkara yang amat dituntut oleh Islam.

Justeru itu, setiap kali menjelang bulan penuh berkat ini, pelbagai pihak mengambil peluang menganjurkan aktiviti kebajikan dan program meraikan anak-anak yatim, fakir miskin ibu tunggal dan mereka yang sedang mendapat rawatan di hospital 

Amalan ini turut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar sejak beberapa tahun lalu setiap kali tibanya Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Belia Usia Sabah tahun ini agak berbeza dengan program ziarah sebelum ini dimana pada tahun ini dibuat secara kolaborasi antara Pejabat Adun Kemabong, Badan Dakwah Daerah Usia Bahagian Tenom dan Belia Usia Sabah.

Jamawi (tengah, barisan belakang) semasa ziarah di pusat Tahfiz Ar Raudah Kampung Mantailang Tenom. – Gambar SNT/Ihsan Dun Kemabong

“Tahun ini kita gerakkan bersama program ziarah ini yang menzahirkan rasa simpati kita kepada golongan sasaran” katanya ketika selepas melakukan program ziarah di Hospital Daerah Tenom di sini baru-baru ini.

Mengiringi alatan beliau ialah Pengerusi Badan Dakwah Daerah yang juga Penolong Pegawai Daerah Tenom, Rusdi Belum; Ketua Usia bahagian Tenom, Piduman Abdul Majid dan kakitangan Pusat Khidmat Dun Kemabong.

Terdahulu Jamawi bersama rombongan turut melakukan ziarah ke beberapa buah kampung antaranya  kampung Angan Angan, China Mata dan Pantonhan Sapong dalam kawasan DUN Kemabong, rumah tahfiz Ar-Raudah Kampung Mantailang dan Madarasah Tahfiz Nur Aisyah Tenom.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuklah bantuan keperluan makanan, pakaian dan kewangan.

Jamawi berkata pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban mereka  di samping dapat menceriakan mereka menyambut kedatangan lebaran tahun ini. – SabahNewsToday