Pilih Bahasa

Teruskan bela kebajikan rakyat, henti pengaruh negatif

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Jamawi Jaafar(empat dari kiri) menyerahkan bantuan perubatan kepada penduduk kampung semasa program ziarah di kawasan tersebut. Gambar SNT/Ehsan Jaafar Wahid

KEMABONG: Pelbagai program dilakukan kerajaan termasuk dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata untuk menjaga kebajikan rakyat di setiap peringkat terutama yang kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, setiap program yang dijalankan itu bertujuan membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Di zaman ini rakyat perlu diberi pembelaan, bukannya dengan cara menimbulkan fitnah dan suasana tidak elok dengan mempengaruhi mereka terhadap program dan bantuan yang dilaksanakan pihak kerajaan,” katanya selepas program ziarah Bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Tenom/Kemabong di beberapa buah kampung di daerah Kecil Kemabong hari ini.

Dalam program itu, Jamawi turut menyerahkan bantuan berupa wang tunai, makanan dan keperluan perubatan serta perkakasan rumah kepada beberapa penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya, sakit dan mangsa kejadian angin ribut di daerah itu baru-baru ini.

Jamawi berharap, rakyat dapat menilai dan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri hari ini untuk menunaikan tanggungjawab dalam memimpin rakyat ke arah masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata, dasar kepemimpinan negeri yang mementingkan kebajikan dan suara rakyat membawa perubahan untuk pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. – SabahNewsToday