Pilih Bahasa

The Amazing Orangutan Challenge, tarik 188 peserta

Oleh Alfred Petrus

Peserta bersedia di garisan permulaan untuk memulakan cabaran. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Taman Awam Teluk Likas pagi tadi gamat dengan jeritan 188 peserta The Amazing Orangutan Challenge sempena Hari Orangutan Sedunia anjuran Sri Pelancongan Sabah (SPS) bersama Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia.

Suasana pertandingan di sekitar Tanjung Lipat bermula sebaik sahaja para peserta dari 47 kumpulan dilepaskan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P. Alian pada jam 7 pagi bersama-sama dengan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datu Rosmadi Datu Sulai, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai.

Peserta dikehendaki menempuh lima cabaran antaranya pengetahuan umum spesies Orangutan Borneo, cabaran fizikal dan kemahiran menyelesaikan masalah yang mana peserta akan lebih mengetahui tentang hidupan Orangutan ini.

Antara 188 peserta yang bersemangat dalam menyempurnakan cabaran. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Terdapat satu cabaran yang memerlukan kesemua ahli kumpulan berdiri dengan satu kaki di atas selembar kertas kecil.

Turut mengambil bahagian adalah media Sabah yang membentuk dua kumpulan.

Kumpulan ahli media menyelesaikan cabaran membina sarang atau tempat tinggal Orangutan. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Cabaran akhirnya dijuarai oleh kumpulan Supa Apes dan mereka membawa pulang hadiah tiket penerbangan pergi balik ke Bangkok untuk empat orang, penginapan tiga hari dua malam di Pulau Manukan serta wang tunai berjumlah RM800.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga merakamkan gambar kenangan bersama Assaffal (belakang lima kanan) dan tetamu kehormat lain selepas majlis penyampaian hadiah. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Manakala, tempat kedua dimenangi oleh NJor Run dengan hadiah berupa penginapan dua hari satu malam di Garden Lodge dan wang tunai RM600.

Tempat ketiga dimenangi oleh Sunduvan Athletes dan membawa pulang hadiah penginapan dua hari satu malam di Kolam Air Panas Poring serta wang tunai RM500.

Sementara itu Pengurus Besar SPS, Zachary Mobijohn berkata, pihaknya akan terus pergiat pelbagai program bagi membantu kerajaan dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan hidupan liar dan spesies terancam dalam negeri.

Zachary, ketika ditemui media di The Amazing Orangutan Challenge. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata, kempen yang dijalankan bersifat santai, riadah dan menyeronokkan itu mampu memberikan impak positif bukan sahaja dari segi pelancongan tetapi memberi ilmu pengetahuan kepada peserta terhadap spesies terancam.

“Program ini sebenarnya adalah anjuran SPS bersama Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia yang mana bersempena Hari Orangutan Sedunia.

Aksi salah seorang peserta mengupas kulit kelapa di cabaran yang keempat. – Gambar SNT/Alfred Petrus

“Program ini adalah khasnya untuk kesedaran yang tinggi kepada hidupan terancam seperti spesies Orangutan Borneo.

“Melalui program santai, riadah dan menyeronokkan ini, The Amazing Orangutan Challenge menekankan peserta untuk menamatkan lima cabaran yang telah disediakan,” jelasnya ketika ditemui selepas program ‘The Amazing Orangutan Challenge: Just How Well Do You Know Your Urangutan?’ di Taman Awam Teluk Likas selesai hari ini.

Tetamu-tetamu kehormat menunggang basikal untuk meninjau lokasi kelima-lima cabaran. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Katanya, penyertaan penganjuran kali pertama berkenaan cukup menggalakkan yang mana seramai 188 peserta menyertai cabaran berkenaan.

Menurut beliau, melalui cabaran-cabaran itu juga para peserta akan mengetahui perbezaan antara Orangutan Asia dan Borneo, kepupusan spesiesnya, jenis makanan Orangutan, kekuatan dan juga cara ia membuat sarang atau tempat tinggal habitat berkenaan.

“Kita lihat, program yang kita ubah suai daripada acara yang diminati netizen masa kini iaitu marathon atau fun run, ia mampu menarik lebih ramai orang awam untuk menyertainya dan sekali gus mampu memberikan mereka pengetahuan terhadap Orangutan,” jelasnya.

Antara 188 peserta yang bersemangat dalam menyempurnakan cabaran. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Tambahnya lagi, sebagai sumbangan dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, 10 peratus daripada yuran pendaftaran The Amazing Orangutan Challenge disumbangkan kepada WWF-Malaysia untuk Program Pemuliharaan Hutan Orangutan.-SabahNewsToday