Pilih Bahasa

The Battle of the Reds: Manchester Reds vs Liverpool Reds mampu lonjak pelancongan sukan Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Perlawanan bolasepak antarabangsa, The Battle of the Reds pada 20 Nov di Stadium Likas dilihat mampu melonjakkan sektor pelancongan sukan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata ia suatu langkah terbaik buat Sabah kerana pelancongan sukan adalah sektor yang kian berkembang pesat di negeri itu.

Christina (tiga dari kanan) dan Ginger (empat dari kanan) menunjukkan baju yang tertera nama masing-masing sempena sidang media dan makan malam The Battle Of The Reds: Manchester Reds vs Liverpool Reds di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan aktiviti sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini disebabkan ia bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor sukan malah  pelancongan.

“Kita bukan sahaja dapat memperkenalkan negeri ini kepada pemain atau atlet antarabangsa yang datang mengadakan perlawanan di sini malah secara tidak langsung mampu menarik peminat mereka juga untuk datang ke sini bagi menonton perlawanan.

Para peminat mengambil peluang bergambar dengan para pemain bolasepak antarabangsa terkenal EPL. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Ia dilihat sebagai kesinambungan bagi sektor pelancongan kerana Sabah terdahulu memang sudah terkenal dengan keindahan alam semula jadi di peringkat antarabangsa dalam kalangan penduduk setempat atau pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan makan malam sempena The Battle Of The Reds: Manchester Reds vs Liverpool Reds, dekat sini, malam semalam.

Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Dr KH Tan dan Mayor Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman.

Christina (empat dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain serta barisan pemain antarabangsa sempena sidang media dan makan malam The Battle Of The Reds: Manchester Reds vs Liverpool Reds di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Seramai 32 bekas pemain kelab bola sepak gergasi dunia, Liverpool dan Manchester United itu tiba di Kota Kinabalu, semalam bagi perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Likas pada 20 November nanti.

Antara pemain lagenda Liverpool yang menyertai perlawanan tersebut ialah Jason McAteer, Steve McManaman, Peter Crouch, Emile Heskey, David James, Jari Litmanen, John Arne Riise, Dietmar Hamann dan Danny Murphy.

Mereka akan bertemu dengan lagenda Manchester United antaranya Teddy Sheringham, Ronny Johnsen, Mikael Silvestre, Clayton Blackmore dan Keith Gillespie.

Selain perlawanan bola sepak, semua pemain bola sepak berkenaan juga akan mengadakan majlis ramah mesra bersama peminat di pusat beli-belah Imago selain makan malam kelab peminat

Dalam pada itu, Christina berkata penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa di Sabah sejajar dengan matlamat kerajaan negeri mahu negeri berkenaan sebagai destinasi sukan dunia. -SabahNews Today