Pilih Bahasa

Tiada agama terpinggir dalam agenda pembangunan Kerajaan Negeri – Madius

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau memberi jaminan tiada agama yang akan terpinggir dalam agenda pembangunan kerajaan Sabah.

Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sentiasa prihatin dan terbuka untuk memastikan kebajikan semua agama di negeri ini sentiasa diberi perhatian.

Madius (dua kanan) memukul gendang bersama para pemimpin agama Tao sebagai simbolik Sambutan Ulang Tahun Keagaaman Tao Sabah ke-11.-Gambar SNT/Ihsan KP&P

“Sebagai makluman, pada tahun 2018 kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM31 juta untuk disalurkan kepada agama bukan Islam.

“Peruntukan ini kemudiannya meningkat kepada RM34 juta pada tahun 2019 dan saya percaya, peruntukkan ini akan dikekalkan dan tidak mustahil akan meningkat lagi pada tahun ini,” katanya.

Madius berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perayaan Sambutan Ulang Tahun Keagamaan Tao Sabah ke-11 bertempat di Tokong Hu Yuang, di sini, semalam.

Namun katanya beliau telah difahamkan agama Tao hanya mendapat sedikit agihan bantuan daripada jumlah peruntukkan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, salah satu faktor yang telah dikenalpasti ialah agama Tao ini masih belum tersenarai sebagai salah satu agama bukan Islam di Sabah.

“Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat kabinet negeri dan memastikan ia dapat diselesaikan pada tahun ini kerana kita tidak mahu ada agama yang terpinggir dalam usaha murni kerajaan negeri.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan ini berlaku akibat kekeliruan terhadap masyarakat kaum Tionghua yang sinonim sebagai penganut agama Buddha.

Billy Kong (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Madius (tiga kanan) sambil disaksikan pemimpin agama Tao yang lain.-Gambar SNT/Ihsan KP&P

“Namun saya difahamkan, berikutan pendaftaran Pertubuhan Agama Tao pada Tahun 2006 dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Negara telah pun mengiktiraf agama Tao sebagai salah satu agama yang boleh ditulis dalam sijil lahir,” katanya.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen P170 Tuaran turut memuji kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama pada majlis anjuran Gabungan Penganut Agama Tao Sabah itu.

“Inilah yang kita banggakan di Sabah. Sentiasa aman harmoni saling hormat menghormati.

“Semoga perpaduan sebegini terus subur dalam kepelbagaian bangsa dan agama,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-11 kepada semua Penganut Agama Tao di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Gabungan Penganut Agama Tao Sabah, Billy Kong; Pengerusi Tokong Tao Yu Huang Tuaran, Thomas Chong; Wakil Pertubuhan Penganut Tao Johor, Wang Tet Cheng; dan Pengerusi Penganjur, Willex Chung.-SabahNewsToday