Pilih Bahasa

Tiada dasar kerajaan menyekat Polis Cawangan Khas: Mohd Shafie

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak pernah memutuskan peraturan untuk melarang anggota polis cawangan khas ke mana-mana acara melibatkan wakil rakyat termasuk Ketua Menteri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara berkenaan tidak benar dan bukanlah dasar kerajaan baharu.

Mohd Shafie (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew mengagihkan bubur lambuk kepada orang awam. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Saya telah bangkitkan mengenai perkara ini di kabinet.

“Tidak ada peraturan yang telah diputuskan oleh kerajaan menghalang mana-mana pihak untuk hadir dalam sidang akhbar Ketua Menteri mahupun pemimpin lain.

“Tidak ada pengumuman dibuat berkenaan prosidur itu. Kalaupun ada, keputusan itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya selepas kunjungan mesranya ke Bazar Ramadan Lintasan Deasoka dan Pengagihan Bubur Lambuk kepada orang awam di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie memberi bubur lambuk kepada pengunjung Bazar Ramadan di Lintasan Deasoka. Gambar SNT/Ihsan JKM

Jelasnya kenyataan tersebut juga bukan datang dari beliau atau kerajaan negeri.

“Anggota polis cawangan khas boleh datang bila-bila masa sahaja untuk mendengar dan menjalankan tugas mereka. Kenapa kita mahu halang?

“Jika kita halang nanti, besok lusa, wartawan akan membuat laporan dan disiarkan di akhbar, orang akan tahu. Jadi kita mahu halang buat apa?

“Ia tidak perlu dan tidak betul, cuma kita mahu nyatakan bahawa ia bukan dasar kerajaan,” jelasnya.

Mohd Shafie menambah tidak ada dasar kerajaan seumpama itu semenjak beliau berkhidmat di Putrajaya lagi.

“Tiada sekatan. Malah semua media juga boleh datang tanpa halangan,” tambahnya.

Sementara itu, pada program berkenaan, Mohd Shafie mengedarkan sebanyak 1,000 bubur lambuk kepada orang awam yang berada sekitar Lintasa Deasoka sebelum melawat bazar Ramadan di kawasan berkenaan. -SabahNewsToday