Pilih Bahasa

Tiada halangan gerakkan bekalan sayur Kundasang kepada pembeli semasa PKP

KOTA KINABALU: Jabatan Pertanian Sabah Ranau telah memberi pengesahan kepada 58  pengusaha/pemborong/peraih untuk mengedarkan hasil mereka ke seluruh Sabah sejak pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),

Sehingga kini, sebanyak 148 pengesahan telah dikeluarkan dan sebanyak 184 buah kenderaan telah didaftarkan untuk mendapat pelekat khas pergerakan, jelas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong.

Datuk Junz Wong. – Gambar fail SNT

Junz berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas gesaan Ketua Unit Peladang Kampung Lipasu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu Jailin Nazrin yang menyatakan Kundasang sedang mengalami masalah lambakan sayur serius.

Jailin berkata masalah itu semakin serius, berikutan para pemborong sayur dari luar Kundasang tidak dibenarkan masuk.

Junz berkata pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan PKP dipatuhi khususnya PDRM tidak pernah menghalang mana-mana pemborong sayur Kundasang ataupun pengeksport sayur Kundasang ke Brunei, Sarawak ataupun ke Semananjung.

Junz menjelaskan di peringkat daerah Ranau/Kundasang pihak yang bertanggungjawab samada Pejabat Daerah, PDRM dan Jabatan Pertanian Ranau sentiasa berusaha dan berkerjasama untuk membantu agar pergerakan pemborong-pemborong, pengeksport sayur dan pengusaha sayuran Kundasang ini berjalan lancar.

“Kementerian saya, Pejabat Daerah Ranau, PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia, FAMA dan PPK Kinabalu berkerja rapat dengan mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran sayuran bagi menangani masalah pemasaran sayur tanah tinggi kundasang.

“Kita akui COVID-19 telah menjejaskan aktiviti harian kita termasuklah kesannya kepada petani sayuran Kundasang, namun kita berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan impaknya kepada mereka,” jelas Junz.

Beliau telah dimaklumkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah sedang memantau kelancaran pergerakan sayuran tanah tinggi Kundasang ke pasaran di seluruh daerah di Sabah dan juga ke Sarawak melalui Sindumin.

FAMA Sabah juga telah mengurus penghantaran 45 metrik tan sayuran ke Selayang, Kuala Lumpur dan setakat ini tiada halangan yang dihadapi, katanya.

Sementara itu, Junz memuji usaha yang dilakukan oleh aktivis belia dan pengusaha kebun sayur Azizul Julirin serta rakan-rakannya untuk menghantar bekalan sayuran ke Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Junz berkata dia tidak nampak pun kelibat Jailin Nazrin di lapangan dan bertanya sama ada Jailin menetap di Ranau/ Kundasang.

“Apa pun, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian Sabah akan meneruskan pemantauan dan penyelarasan aktiviti pemasaran dan lain akitiviti berkaitan tanaman pertanian khususnya di Kundasang,” kata Junz.-SabahNewsToday