Pilih Bahasa

Tiada isu U-turn, Kerajaan Negeri berusaha tadbir Sabah tanpa campurtangan pusat: Warisan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal membuat ‘U-turn’ berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua berkata Datuk Joniston Bangkuai mungkin kekurangan idea untuk mempertahankan keputusan kerajaan pusat berhubung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Datuk Loretto Padua. Gambar Fail SNT

‘Ketua Menteri telah memberi penerangan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius berkenaan keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah lebih daripada ekonomi, dan Kerajaan Negeri perlu meneliti dan mengkaji sedalam-dalamnya sebelum melaksanakan PKPB.

‘Tidak ada istilah U-turn di sini kerana keputusan yang dibuat oleh kerajaan dengan membenarkan sektor pertanian dan perhutanan dibuka apabila kajian terperinci telah dijalankan,” kata Loretto.

‘Janganlah kita mempolitikan isu ini.

“Janganlah mengkritik Kerajaan Negeri apabila Ketua Menteri berusaha untuk mentadbir negeri tanpa campurtangan Persekutuan, kerana ini menunjukkan bahawa kita mahu membuat keputusan bebas.

“Apa yang penting, Kerajaan Negeri telah memberi garis panduan kepada pemain-pemain sektor yang terlibat berkenaan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang perlu dilaksanakan,” ujarnya.-SabahNewsToday