Pilih Bahasa

TIADA KAKITANGAN LOJI RAWATAN AIR KEHILANGAN PEKERJAAN

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur memberi jaminan bahawa pekerja di kesemua enam syarikat konsesi pengurusan loji rawatan air yang akan ditamatkan kontrak pada 15 Januari tidak akan kehilangan pekerjaan.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata kesemua 1,335 orang kakitangan syarikat yang terlibat akan diserap masuk dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tambahnya bagi kakitangan-kakitangan tersebut, mereka diserap ke dalam JANS sebagai lantikan khas tanpa menghadiri temuduga mahupun ujian.

“Saya memberi jaminan ini kerana terdapat mesej yang ditularkan, sehingga menakutkan pekerja-pekerja tersebut bahawa mereka tidak akan mempunyai pekerjaan selepas 15 Januari kelak.

“Saya memberi jaminan tiada kakitangan yang akan kehilangan kerja,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, jelasnya surat lantikan individu akan diserahkan kepada semua yang terlibat secara berasingan kemudian.

Beliau turut menasihatkan bahawa kakitangan yang bimbang berkenaan pelantikan tersebut boleh menghubungi hotline Jabatan Air menerusi talian 088-326888.

Terdahulu, bagi meningkatkan kedudukan kewangan negeri, Peter telah mengumumkan penamatan kontrak syarikat konsesi pengurusan loji rawatan air yang terlibat.

Menurutnya sejumlah RM2 bilion mampu dijimatkan oleh kerajaan negeri melalui keputusan yang dibuat. -SabahNewsToday