Pilih Bahasa

Tiada kejadian culik berlaku

Oleh Junaidi Ladjana

Ketua Balai Polis Inanam yang tiba dilokasi kejadian menemui kedua-dua kanak-kanak berkenaan untuk mendapatkan cerita sebenar kejadian. – Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kejadian culik dilaporkan berlaku di Kampung Warisan, Inanam, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kejadian terbabit hanya salah faham.

Katanya hasil siasatan polis mendapati, kejadian salah faham itu berlaku berpunca daripada dua beradik berusia sembilan dan 14 tahun yang berjalan kaki di jalan raya pada pukul 6.30 petang.

Gambar yang tular kononnya cubaan menculik kanak-kanak di Kampung Warisan, Inanam Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Habibi berkata sebuah van berwarna putih yang melalui jalan berkenaan dikatakan berhenti sebelum menegur kedua-dua kanak-kanak terbabit kerana menghalang laluan jalan dan mengarahkan mereka segera pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, kanak-kanak perempuan itu sebelum terus lari ke rumah dan memberitahu ahli keluarga bahawa adiknya cuba diculik.

“Keluarganya yang panik terus keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan, namun kanak-kanak terbabit masih ada dan van berkenaan pula sudah tiada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Habibi lagi, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kanak-kanak terbabit juga berada dalam selamat.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa memeriksa sebarang kejadian sebenar sebelum menularkan sebarang berita atau kenyataan di laman sosial.

Katanya ia bagi mengelakkan timbul kegusaran awam sehingga boleh mencetuskan huru hara dan panik terutamanya dalam kalangan ibu bapa. – SabahNewsToday