Pilih Bahasa

Tiada kelulusan permohonan tanah di Kampung Likas: Adun Karambunai

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Azhar Matussin menafikan kerajaan telah meluluskan permohonan tanah kepada sekumpulan individu di Kampung Likas seperti yang tular di media sosial.

Beliau juga menegaskan tindakan pihak tertentu menggunakan nama kerajaan negeri dan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) berkaitan tanah tersebut jelas menyalahi undang-undang.

Azhar Matussin ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Bahagaian Warisan Sepanggar di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Tanah ini dahulunya adalah kawasan setinggan namun sudah dirobohkan.

“Bagaimanapun sejak Oktober tahun lepas, wujud pihak yang menyatakan saya selaku Adun di kawasan Karambunai memberikan kebenaran kepada mereka menduduki tempat itu dengan membina rumah.

“Hal ini salah kerana saya sendiri tidak mengetahui perkara ini sehinggalah diberitahu malahan lebih teruk menerusi rakaman yang tular dalam media sosial baru-baru ini, mereka mengatakan TYT telah memberikan kebenaran untuk membangunkan tanah itu.

“Selepas merujuk pihak istana, saya dimaklumkan bahawa pihak istana tidak pernah beri sebarang kebenaran untuk mereka menggunakan kawasan itu,” katanya.

Gambar penguatkuasa sedang memantau di kawasan berkenaan. Gambar SNT/Sumber media sosial

Azhar yang juga Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Bahagian Warisan Sepanggar, Zakaria Damit, dekat sini, malam semalam.

Beliau meminta orang awam di negeri ini tidak menggunakan nama kerajaan negeri serta TYT bagi mengaut keuntungan peribadi.

Dalam pada itu, Azhar berkata pelbagai reaksi diterimanya samaada melalui panggilan telefon atau Whatsapp yang menyatakan rasa tidak puas hati.

Menurut beliau, pihaknya sudah menjelaskan situasi terkini kepada penduduk agar lebih faham kerajaan kini mahu mengurangkan kawasan setinggan bukan sahaja di Sepanggar malahan seluruh negeri.

Pada Khamis, dilaporkan Jabatan Tanah dan Ukur telah mengambil tindakan pantas terhadap kumpulan yang dikatakan sedang membuat kerja pembersihan haram di tanah tersebut.

Pengarah Tanah dan Ukur, Safar Untong turut menyatakan jentera berat yang digunakan dalam kerja pembersihan turut dikeluarkan daripada kawasan itu.

Video rakaman seorang individu mendakwa telah mendapat kebenaran daripada TYT untuk menduduki tanah tersebut turut tular.

Walaupun demikian individu terbabit gagal menunjukkan sebarang bukti ataupun surat kebenaran tersebut kerana ianya tertinggal di rumah.-SabahNews Today