Pilih Bahasa

TIADA KEPERLUAN BAGI PARTI BERASASKAN KAUM INDIA DI SABAH

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Masyarakat India Sabah tidak memerlukan parti berunsurkan kaum di dalam tampuk pemerintahan kerajaan baru.

Bekas Setiausaha Parti Malaysian Indian Congress (MIC) Sabah Ron Ganasegaran berkata parti berasaskan kaum seperti MIC di Sabah sejak penubuhannya 25 tahun lalu tidak membawa apa-apa kepentingan bagi masyarakat India Sabah.

Ron (tengah) pada sidang media berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

Dalam pada itu, beliau menggesa kepada masyarakat India Sabah untuk lebih berhati-hati dengan parti berasaskan kaum pada masa akan datang.

Jelasnya sejak bertapaknya MIC di Sabah 25 tahun lalu, parti berkenaan tidak memberikan sebarang kebaikan kepada masyarakat minoriti itu.

“India Sabah mempunyai kepadatan penduduk seramai lebih 10,000 orang yang mana 1,000 lebih adalah penuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 80 peratus lagi adalah mereka yang bekerja profesional serta usahawan.

“Kita (India Sabah) tiada banyak isu timbul di Sabah. Jadi dalam hal ini, saya tidak nampak kenapa kita perlu wujudkan parti berasaskan kaum India di Sabah,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Jelasnya jika terdapat sesiapa yang ingin menyertai arena politik, Ron menggesa kepada komuniti India Sabah agar sertai parti sedia ada dalam negeri seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berasaskan kepelbagaian kaum.

“Kenapa masyarakat India Sabah memerlukan parti mereka sendiri sedangkan kita adalah masyarakat yang minoriti. Kita hanya perlu sertai parti pelbagai kaum yang menerajui kerajaan negeri masa kini.

“Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah pemimpin yang berasaskan kepelbagaian kaum di Sabah. Beliau membantu semua kaum di negeri ini.

“Di Sabah juga, kita (India Sabah) tidak ada masalah miskin tegar di sini atau mana-mana isu besar seperti di Semenanjung Malaysia. Apa yang kita perlukan adalah bantuan kewangan mahupun biasiswa kepada anak-anak India Sabah,” tambahnya.

Jelasnya generasi muda India Sabah lebih memerlukan bantuan tersebut yang mana tidak dilakukan atau diberikan oleh pimpinan MIC terdahulu.

“MIC terdahulu tidak pernah membantu pelajar India Sabah termasuklah biasiswa pendidikan.

“Jika mereka memberikan bantuan, tiga orang setiap tahun sejak 20 tahun lalu, ramai anak-anak muda ini mendapat perhatian dari segi pendidikan. Tapi apa yang terjadi sehingga kini?” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ron merupakan mantan Setiausaha MIC Sabah selama tiga penggal dan telah berhenti pada 2008 kerana tidak boleh bekerja dengan kepimpinan MIC pada masa itu.

Sementara itu, Pengerusi MIC Sabah Datuk V. Jothi yang keluar dari MIC baru-baru ini dijangka melancarkan parti baru berasaskan kaum tersebut pada Ahad. -SabahNewsToday