Pilih Bahasa

Tiada kes baharu di Sabah; JKNS saring 1,821 penumpang termasuk pelajar IPT di LTAKK pada 21 Mei

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Tiada kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di negeri ini setakat 21 Mei manakala seramai 1,821 individu telah melalui proses saringan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Selepas proses saringan, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil sampel daripada 791 individu untuk ujian Covid-19.

Datuk Dr Christina Rundi. – Gambar Fail SNT

Menurut Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi aktiviti saringan dilakukan seramai 49 anggota kesihatan dari Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu bermula dari pukul 9 pagi sehingga 11 malam.

Sebanyak 17 penerbangan mendarat di LTAKK pada Khamis termasuk empat penerbangan sewa khas yang membawa balik seramai 1,026 pelajar IPT dari semenanjung dan Sarawak.

Seramai 795 lagi merupakan penumpang yang menaiki 13 penerbangan komersial, katanya.

“Selain memastikan semua penumpang diperiksa dan disaring di pintu masuk antarabangsa Sabah, anggota kesihatan turut menjalankan proses dekontaminasi di lokasi pemeriksaan dan persampelan setiap kali operasi selesai,” katanya.

Jumlah kes Covid-19 di Sabah kekal pada 338 setakat 21 Mei dan seramai 30 individu masih menjalani rawatan di enam hospital berpakar di seluruh negeri ini.-SabahNewsToday