Pilih Bahasa

Tiada kes JE lain direkodkan buat masa ini

Oleh Alfred Petrus

Frankie (kanan) menyempurnakan pelepasan Walk For Autism. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Tiada lagi kes Japanese Encephalitis (JE) direkodkan selepas kes pertama terhadap seorang pesakit lelaki berumur 21 tahun yang disyaki dijangkiti penyakit berkenaan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Frankie Poon Fung Min berkata buat masa ini keadaan kes berkenaan di negeri ini adalah terkawal.

“Ia sebenarnya bukan kes yang besar. Lelaki berasal dari Tambunan yang dijangkiti JE itu juga stabil selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.

“Buat masa ini, jika ada apa-apa kes yang serius, Jabatan Kesihatan Negeri akan memaklumkan kepada kita dengan segera.

“Penyakit itu juga tidak berjangkit melalui pesakit ini kerana JE disebarkan oleh sejenis nyamuk,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan Walk For Autism, di Perdana Park, Tanjung Aru di sini hari ini.

Tambahnya lagi pihaknya juga belum mengesan sebarang jangkitan lain seperti di ladang-ladang ternakan haiwan sekitar Tambunan.

Sementara itu, pada program berkenaan, kira-kira 1,000 peserta menyertai altiviti tersebut bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa yang menghidap autism.

Antara lain program berkenaan bertujuan memberikan kesedaran kepada orang awam berkenaan keperluan golongan kelainan upaya tersebut. – SabahNewsToday