Pilih Bahasa

Tiada kes positif Covid-19 baharu di Sabah pada 25 Mac

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan melaporkan tiada penambahan kes Covid-19 di Sabah pada hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Maklumat daripada Kementerian menunjukkan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah kekal pada 170.

Ditanya mengenai laporan kekurangan bahan ‘reagent’ yang diperlukan bagi membuat saringan Covid-19, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi menyatakan bahawa Sabah masih mempunyai bekalan bahan tersebut namun terhad.

Sementara itu Bernama melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes, manakala kematian akibat wabak itu kini berjumlah 19 orang.

Dr Noor Hisham turut berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Manakala baki 101 kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan discaj dari wad adalah 199 kes.

Setakat ini, terdapat 73 anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dikesan positif COVID-19 dan berdasarkan siasatan, punca jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif COVID-19,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata seramai 1,895 anggota KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, dan 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.-SabahNewsToday