Pilih Bahasa

Tiada kompromi buat calon tidak bebas dadah – Omar Mammah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Omar Mammah (duduk, tengah) menandatangani dokumen perbaharui lesen senjata api milik Brigadier Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah. -Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menggesa orang ramai yang ingin memohon mana-mana  jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memastikan diri mereka bebas daripada gejala penyalahgunaan dadah. 

Beliau berkata perkara ini amat serius ekoran tertangkapnya seorang calon lelaki yang didapati positif dadah jenis ganja ketika menjalani sesi temuduga konstabel, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam. 

“Daripada 114 calon yang hadir, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing terhadapnya menunjukkan dia positif dadah jenis ganja. 

“Apabila mereka menghadiri sesi peringkat pemilihan sama ada ujian fizikal atau temuduga, kita akan periksa secara rawak. Jadi hindarilah diri daripada sebarang aktiviti dadah kerana ini adalah satu kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas program Pembaharuan Lesen Senjata Api Pistol di Dewan IPD di sini hari ini.

Omar Mammah (duduk, lima dari kiri) dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Umbuas (duduk, tiga dari kiri) bergambar dengan seramai 21 pemilik senjata api zon Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Katanya kes ini adalah pertama kali berlaku dalam dua siri temuduga polis yang dijalankan pada tahun ini.

Semalam, Sabah News Today melaporkan seorang lelaki yang menghadiri sesi temuduga konstabel ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Suspek turut mengaku menghisap ganja lima kali seminggu dan mendapat bekalan terbabit daripada seorang pengedar di Kota Kinabalu dengan harga RM50 satu paket. 

Menyentuh berkenaan program, seramai 21 pemilik senjata api hadir bagi memperbaharui lesen membabitkan kawasan Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu. 

“Seramai 21 daripada 26 pemilik senjata di zon ini hadir bagi memperbaharui lesen. Bagaimanapun, dua daripada pemilik senjata api hanya menghantar wakil dan tidak membawa senjata api berkenaan. Jadi kita tidak dapat perbaharui lesen berkenaan. 

“Apa yang penting pemegang lesen perlu membawa senjata api ketika memperbaharui lesen untuk kami mengetahui sama ada pistol berkenaan adalah sama dengan yang didaftarkan dalam lesen. 

“Kita khuatir jika ada antara pemegang lesen yang kehilangan pistol tetapi datang hanya untuk memperbaharui lesen,”katanya. – SabahNewsToday