Pilih Bahasa

TIADA MASALAH TARAF WARGANEGARA BAGI BUGIS DAN JAWA TAPI BUKAN ANAK NEGERI SABAH

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Isu sama ada bangsa Bugis dan Jawa boleh diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah tidak seharusnya timbul memandangkan asal usul mereka bukan dari negara ini tetapi negara Indonesia.

“Sebagai orang asal Sabah, kita tidak pandang rendah dengan bangsa Bugis atau Jawa,” kata Presiden Persatuan Lotud Sabah Datuk Freddie Sua.

Datuk Freddie Sua. Gambar Fail SNT

“Di Sabah dari dulu kalau Bugis mahu pun Jawa berkahwin dengan anak negeri Sabah, anak mereka secara otomatik akan menjadi bumiputra Sabah.

“Namun yang kita mahu teliti adalah mengenai dengan pengurusan hal ehwal anak negeri Sabah,” katanya mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar mengenai pengiktirafan suku Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri Sabah.

Freddie juga menyokong kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melalui Facebook page beliau yang menolak cadangan tersebut.

Madius juga berkata tiada masalah bagi Bugis dan Jawa untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia tetapi bukan status Anak Negeri Sabah.

Freddie bertanya jikalau memang asal usul itu dari Indonesia dan bangsa dari Indonesia, ada kah patut mereka diserapkan sebagai Anak Negeri sedangkan dalam urusan hal ehwal anak negeri di Sabah ada lebih 30 etnik yang bukannya berkaitan dengan bangsa Bugis dan Jawa yang berasal dari Indonesia.

“Ambil contoh, kalau KDM lahir di Indonesia dan bertaraf rakyat Indonesia, boleh kah mereka diserapkan dalam hal ehwal anak tempatan Indonesia. Jawabnya sudah tentu tidak.

“Maka sama juga di Sabah. Anak keturunan Bugis dan Jawa boleh jadi warganegara dan mendapat taraf Bumiputra kalau mengikut Perlembagaan Persekutuan, akan tetapi tidak boleh diiktiraf sebagai anak negeri di Sabah,” kata Freddie.

Menurutnya, walaupun beliau adalah dari KDMR, namun beliau juga mempunyai ipar berketurunan Bugis dan Jawa akan tetapi mereka tidak masuk campur urusan hal ehwal anak negeri keluarga mereka.

“Kalau setakat hal ehwal bumiputra, Saya tidak sangat kesah lah. Akan tetapi kalau sudah mahu ubah ordinan Hal Ehwal Anak Negeri untuk menyerapkan yang bukan anak negeri orang asal Sabah, itu sudah agak keterlaluan dan ini satu perkara yang kita sebagai anak negeri Sabah tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

Freddie berharap semua Anak Negeri Sabah bangkit menolak cadangan Aidi.-SabahNewsToday