Pilih Bahasa

Tiada mesyuarat khas Parlimen 2 Mac: Speaker

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Mac.

Beliau menyatakan telah menerima surat pemakluman panggilan mesyuarat khas Dewan Rakyat itu yang ditandatangani oleh Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun demikian, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) pemberitahuan dan tarikh mesyuarat adalah dikeluarkan oleh Speaker.

Setakat ini tiada notis dikeluarkan.

Mohamad Ariff turut berpandangan keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat hanya akan dipanggil setelah mendapat pemakluman titah rasmi Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan Perdana Menteri.

Semalam Dr Mahathir mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.-SabahNewsToday