Pilih Bahasa

Tiada Pas Lawatan Jangka Panjang: Anak, pasangan warganegara boleh mohon masuk Malaysia

Datuk Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA, 14 Sept — Pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tidak mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang, boleh memohon kebenaran untuk masuk ke negara ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Bagaimanapun katanya, pertimbangan kebenaran masuk itu hanya untuk pemohon dari negara-negara yang dibenarkan masuk ke Malaysia sahaja.

“Bagi negara-negara yang dikenakan sekatan kebenaran masuk, permohonan kebenaran masuk tidak akan dipertimbangkan sehingga ada satu keputusan baharu menarik balik sekatan kebenaran masuk bagi negara-negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pemohon yang dibenarkan masuk ke Malaysia adalah isteri atau suami atau anak kepada warganegara Malaysia/Penduduk Tetap.

Menurutnya, suami dan isteri warga asing tersebut juga mestilah telah berkahwin secara sah mengikut undang-undang dikuatkuasakan di Malaysia, dan mendaftarkan perkahwinan dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau berdaftar dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Luar Negara.

Khairul Dzaimee berkata permohonan perlu dibuat melalui e-mel [email protected] dan ia akan diproses serta dibawa ke mesyuarat Task Force Kemasukan Warga Asing ke Malaysia bagi penilaian sebelum kebenaran masuk diberikan.

Pemohon boleh melayari laman web www.imi.gov.my bagi mendapatkan tatacara dan panduan permohonanan masuk bagi kategori tersebut sebelum menghantar permohonan lengkap ke [email protected]

— BERNAMA