Pilih Bahasa

Tiada pengumuman darurat seperti tular di media sosial – CP Sabah

Oleh Junaidi Ladjana

Zaini (tengah) – Gambar SNT/Junadi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan keadaan sekarang bukannya darurat tetapi memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah keselamatan dan menggelakan jangkitan Covid-19.

Ini susulan satu rakaman video berdurasi 17 saat memaklumkan keadaan diistiharkan darurat hingga rakaman itu tular di media sosial.

Dalam video itu memaparkan kenderaan polis melalui pembesar suara memberitau tiada lagi pergerakan masuk dan keluar ke Kota Kinabalu dan Lahad Datu mulai sekarang.

Sehubungan itu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menegaskan pihaknya sudah maklum mengenai rakaman video itu dan berlaku kekeliruan dalam kalangan anggota yang bertugas. 

“Tiada pengisytiharan darurat seperti mana dalam video itu tetapi sebenarnya polis dalam usaha memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, orang ramai perlu mematuhi arahan untuk duduk diam-diam di rumah sepanjang tempoh perintah berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Zaini berkata secara umumnya terdapat peningkatan kesedaran dikalangan masyarakat khususnya di negeri ini.

“Mungkin pada hari pertama agak kelam kabut namun hari demi hari peratus pematuhan itu dilihat meningkat.

“Oleh itu kerjasama sepenuhnya amat kita perlukan agar kesedaran orang ramai dapat mencapai 99 peratus,” katanya. – SabahNewsToday