Pilih Bahasa

Tiada pilihan raya mengejut – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 11 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pilihan raya mengejut tidak akan diadakan, sambil menegaskan kerajaan Perikatan Nasional yang baru dibentuk akan berkhidmat kepada rakyat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Jika anda mahu diadakan pilihan raya mengejut, saya tidak mahu itu (pilihan raya mengejut). Ini bukan masa yang sesuai …kami berada di sini untuk berkhidmat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet beliau di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan baharu sudah dibentuk untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat berharap bahawa kerajaan ini akan berkhidmat dengan baik dan kami berjanji bahawa kami akan berkhidmat dengan baik,” katanya.

Dilaporkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri, dan dengan itu merancang untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei.

Ketika ditanya sama ada beliau mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin menjawab: “Sudah tentu, jika tidak, saya tidak berada di sini,” tanpa menjelaskan lebih lanjut.

— BERNAMA