Pilih Bahasa

Tiada sebab usul penambahan kerusi Dun Sabah ditolak: Mohd Shafie

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan membahaskan usul penambahan 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Parlimen yang akan dibentangkan pada 17 Julai nanti.

Katanya antara lain perkara itu dibawa ke sidang Parlimen adalah untuk menyatakan sebab mengapa isu berkenaan perlu mendapat sokongan daripada tampuk pimpinan kerajaan negeri masa kini.

Mohd Shafie bercakap kepada pemberita selepas merasmikanPameran dan Persidangan Minyak dan Gas Sabah (Sogce) Ketujuh 2019 di Magellan Sutera Resort, hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Sebenarnya perkara berkaitan penambahan kerusi Dun Sabah sudah dibentangkan di Dun sejak pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Ia sudahpun diluluskan oleh Dun dan tidak ada sebab kenapa kita tidak memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Minyak dan Gas Sabah (Sogce) Ketujuh 2019 di Magellan Sutera Resort, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Pindaan Perlembagaan tersebut hanya memerlukan sokongan majoriti mudah dalam sidang dewan.

Beliau juga yakin bahawa pindaan itu tidak membabitkan pindaan kawasan Parlimen.

“Ia kerana, pindaan ini hanya membabitkan kerusi Dun dan apa yang penting ialah kelulusan daripada Dun itu sendiri.

“Penambahan kerusi ini kita tidak boleh laksanakan sehingga ianya diluluskan di peringkat Parlimen walapun ia tidak memerlukan persetujuan dua per tiga daripada Ahli Parlimen.

“Saya yakin, kita akan mendapat sokongan berkenaan isu ini,” jelasnya. -SabahNewsToday