Pilih Bahasa

Tiada sekatan peruntukan terhadap PBT di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pusat menafikan dakwaan berlaku sekatan peruntukan kepada beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohammad Mentek berkata tidak ada peruntukan yang disekat, malah semua 25 PBT di Sabah diberikan peruntukan secara purata berjumlah RM1.8 juta setahun untuk melaksanakan projek berskala kecil kurang daripada RM1 juta.

Mohamad Mentek (kiri) berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum taklimat sempena kunjungan hormat itu di PPNS hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

“Projek ini lebih kepada menaiktaraf infrastruktur seperti jalan, lampu jalan, dewan rakyat dan perparitan, namun paling penting kemudahan itu di kawasan PBT untuk keperluan rakyat.

“Semua PBT kita bagi peruntukan tetapi yang penting sekali setiap PBT perlu kenal pasti setiap projek khususnya yang memberikan kesan dan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan rombongan kementerian itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohammad berkata kesemua 25 PBT di Sabah menerima peruntukan berjumlah RM45 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat menerusi kementerian berkenaan.

Katanya kerajaan sebenarnya menyalurkan peruntukan lebih bagi melaksanakan 1,200 projek kecil di semua PBT di Sabah yang telah diluluskan melibatkan peruntukan RM112 juta.

Mohamad Mentek bergambar kenangan dengan Ketua Menteri selepas kunjungan hormat itu. Gambar SNT/Ihsan JKM

Mengenai Rumah Peduli Rakyat, beliau berkata projek yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed itu merupakan inisiatif kerajaan untuk menbantu rakyat mendapatkan hak pemilikan rumah sendiri.

“Selain PPR, kita juga ada rumah transit belia yang disewa sebagai contoh di Kuala Lumpur kita ada rumah transit belia di Bukit Jalil, maknanya kita sediakan rumah itu untuk belia yang tidak ada kemampuan membayar sewa mahal.

“Sewa rumah ini cuma RM250 sebulan untuk tempoh lima tahun,” ujarnya.

Jelasnya kementerian boleh mengkaji sekiranya terdapat keperluan untuk membina rumah transit di Kota Kinabalu buat belia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. – SabahNewsToday