Pilih Bahasa

Tiada telefon pintar, kaunter zakat Drive-Thru menjadi pilihan

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABLU: Seorang penjual ikan berkongsi pengalamannya melaksanakan Rukun Islam keempat yang menggunakan kaedah ‘Drive-Thru’ atau pandu lalu pada Ramadan tahun ini.

Sabdi Mohd Asri, 45, yang menetap di Kampung Likas berkata dengan adanya perkhidmatan kaunter pandu lalu Zakat Fitrah ini, ia memudahkan golongan kurang mahir dalam penggunaan teknologi seperti dirinya untuk menunaikan kewajipan itu.

Seorang lelaki membuat pembayaran zakat fitrah di kaunter zakat fitrah Drive-Thru di Wisma MUIS. Kelihatan amil yang dilantik, Rendra Ahmad (kiri) bersama rakan setugas Hamzah Saidi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain dari tidak mempunyai mempunyai telefon pintar, saya juga memilih untuk menggunakan perkhidmatan pandu lalu untuk mengumpul resit pembayaran zakat yang dibuat sepanjang Ramadan setiap tahun.

“Alhamdulillah, resit-resit ini akan menjadi sebahagian daripada kenangan hidup saya sekeluarga selama kami menjalani kehidupan di bumi Allah,” katanya ketika ditemui Wisma MUIS, hari ini.

Seorang pembayar zakat melaksanakan Rukun Islam keempat itu di kaunter pandu lalu di Wisma MUIS, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Seorang amil yang dilantik, Rendra Ahmad berkata pembayaran zakat pandu lalu ini merupakan inisiatif kerajaan untuk memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah sewaktu pelaksanaan Peritntah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelaksanaan zakat pandu lalu ini dimulakan pada kelmarin (isnin) setelah mendapat kelulusan dan kebenaran dari pihak berkuasa dan permit dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain kaedah pembayaran zakat fitrah menggunakan amil di kaunter pandu lalu, pembayar zakat juga boleh melaksanakan tanggungjawab itu di kaunter amil yang biasa. Namun penjarakan sosial dan penggunaan cecair pembasmi kuman diutamakan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain kaedah pandu lalu ini, umat Islam di Sabah khususnya boleh membayar zakat melalui dalam talian, imbas dan bayar ‘snappay’.

“Namun, kaedah amil drive-thru ini lebih mendapat sambutan kerana ianya mudah dan cepat tanpa pembayar keluar dari kenderaan untuk mencari parkir,” jelasnya yang juga seorang Imam Qariah di Masjid Al Kauthar Kampung Tanjung Aru Lama.

Tinjauan SabahNewsToday juga mendapati terdapat kaunter pembayaran zakat fitrah yang beroperasi seperti biasa.

Seorang pembayar zakat melaksanakan Rukun Islam keempat itu di kaunter pandu lalu di Wisma MUIS, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Namun, penjarakan sosial dan kebersihan diutamakan dengan penyusunan kerusi yang dijarakan satu meter bagi pembayar zakat menunggu giliran dan penggunaan ‘hand sanitiser’ di meja amil.

Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperkenalkan perkhidmatan kaunter pandu lalu buat julung-julung kalinya bagi mempermudahkan kutipan zakat fitrah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bulan Ramadan.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata pada peringkat awal, hanya satu kaunter pandu lalu akan dibuka di Wisma MUIS bermula kelmarin sebelum perkhidmatan itu diperluaskan ke daerah-daerah lain. -SabahNewsToday