Pilih Bahasa

TID Renang dan Terjun Dapat Sambutan Hangat

KOTA KINABALU: Program Mengenal Pasti Bakat (TID) Sukan Renang dan Terjun yang dijalankan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dengan kerjasama Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA) baru-baru ini mendapat sambutan hangat.

Aktiviti di bawah Program Pelapis dan Bakat Negeri Sabah (PPBNS) itu diadakan di Kota Kinabalu dan Sandakan.

Salah seorang peserta TID diberi petunjuk sebelum membuat terjunan. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Pelaksanaan di Kota Kinabalu berlangsung di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Sri Gaya dengan jumlah 21 peserta dan Sekolah Kebangsaan Mutiara dengan jumlah 29 peserta.

Program berkenaan diselenggarakan oleh jurulatih Eric Chan (renang) dan Ag. Sharuddin Manis (terjun).

Antara para peserta yang menghadiri TID. Gambar SNT/Ihsan MSN Sabah

Di Sandakan pula, program dijalankan di Kolam Renang, Kompleks Sukan Sandakan di Sibuga melibatkan murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pui Gin dengan jumlah 25 peserta, di mana jurulatih yang terlibat ialah bekas perenang Olimpik Elvin Chia, Eric dan Mike Yee.

Program TID melibatkan dua sesi itu diisi dengan sesi pengenalan sukan renang dan belajar berenang untuk para peserta, diikuti sesi taklimat untuk ibu bapa berkenaan Program Pelapis dan Bakat serta pengenalan sukan renang.

Pegawai Penyelaras Sukan, MSN Sabah; Christle Easther Michael memberitahu, objektif pelaksanaan TID Renang bertujuan untuk mencari bakat baharu, sebagai pendedahan awal untuk kanak-kanak yang baharu menceburi, meningkatkan kemahiran menyelamat (lifesaving skills), menghilangkan rasa takut pada air dan meningkatkan keyakinan diri para peserta.

“Program ini juga menekankan asas kemahiran dalam sukan renang termasuk teknik pernafasan, pengapungan badan dan gaya-gaya renang.

“Selain itu, dijelaskan juga berkenaan peralatan renang seperti pakaian, topi dan alat bantu renang serta fasiliti renang termasuk perincian berkenaan kolam renang,” jelas beliau.

Program TID menjelaskan kelebihan dan kepentingan berenang, di mana berenang merupakan aktiviti yang sangat baik untuk kecergasan kerana ianya meningkatkan daya tahan kardiovaskular dan koordinasi tubuh badan.

“Selain itu, penekanan serius juga ditumpukan dalam faktor keselamatan dalam sukan renang termasuk tidak panik, tidak berlari disekitar kawasan kolam, tidak menyelam dan tidak berada di kolam renang tanpa pengawasan.

“Sejajar itu, semua pelatih dinasihatkan untuk sentiasa mengikut arahan jurulatih dan wajib berada di bawah pengawasan semasa berada di kolam renang,” tegas Christle.

“Pengguna kolam renang juga perlu sentiasa menyemak kejelasan dan kedalaman air serta tidak berenang di kolam yang panjang jika tidak bersedia dari aspek ketahanan fizikal dan pernafasan.

“Persediaan sebelum memasuki kolam renang juga penting, di mana para perenang dan terjun dinasihatkan untuk mandi, melakukan senaman ringan dan merenggangkan otot sebelum memasuki kolam renang.

“Jika berlaku kecemasan, perenang dinasihatkan untuk tidak cuba menyelamatkan perenang yang berada dalam masalah, melainkan mereka yang terlatih untuk melakukan tugas-tugas menyelamat,” tambah beliau.

“Untuk semua yang dijelaskan itu, aktiviti berenang merupakan aktiviti yang menyeronokkan.

“Berenang merupakan aktiviti yang memenuhi keperluan orang ramai dan merupakan sukan seumur hidup, aktiviti santai dan juga aktiviti kecergasan.

“Berenang sesuai untuk semua lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, orang dewasa mahupun mereka yang telah lanjut usia dan boleh dilakukan oleh semua orang termasuk wanita hamil dan juga individu kurang upaya,” kata Christle lagi.

Dalam pada itu, setiausaha SASA Cynthia Chin berkata pihak persatuan berharap program TID kali ini mampu melahirkan lebih ramai perenang berpotensi untuk mewakili Sabah dan negara.

“Kami (SASA) amat berterima kasih kepada MSN Sabah dan juga ibu bapa yang memberi kepercayaan untuk membawa anak-anak mereka menyertai program ini.

“SASA dan MSN Sabah sentiasa seiringan berusaha mempromosikan sukan akuatik sama ada sebagai aktiviti hidup mahupun menceburkan diri dalam tahap pertandingan,” kata beliau.-SabahNewsToday