Pilih Bahasa

Tidak ada kebenaran menanam Guarana di Sabah: Junz Wong

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Setakat ini Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak ada memberi kebenaran untuk penanaman Guarana di Sabah.

Menteri Datuk Junz Wong berkata kajian tanaman tersebut sedang dilaksanakan di Sabah untuk menilai potensi tanaman tersebut untuk dikembangkan.

Junz Wong. Gambar Fail SNT

“Pada ketika ini, Kementerian saya melalui Jabatan Pertanian tidak pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih Guarana ke Sabah.

“Oleh itu, sebarang penanaman Guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram,” katanya dalam sesi penggulungan usul terimakasih ke atas ucapan TYT dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Menjawab soalan mengenai tanaman Guarana Junz menyatakan, “kementerian saya mendapat banyak pertanyaan orang awam sama ada guarana  dibenarkan di Sabah.”

“Buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman yang dipromosi sebagai penjana ekonomi.”

“Mana-mana tanaman baharu yang akan diperkenalkan perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C).”

“Tanaman guarana perlu menjalani R&D&C terlebih dahulu sebelum dikomersilkan. Tanaman guarana adalah  jenis tanaman baharu di negeri ini, dan belum dikenalpasti potensinya,” ujarnya.

Junz menegaskan bahawa Akta kuarantin 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kawasan komponen Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur untuk membawa masuk Guarana yang mana tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan  wajib mendapat Import Permit Tumbuhan.

Brazil tersenarai sebagai high risk country  yang mana negara ini adalah kawasan endemic Penyakit South American Leaf Blight yang disebabkan oleh fungi Microcyclus ulei.

Penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan yang amat serius terhadap tanaman getah, maka proses membawa masuk Guarana dari Brazil perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Junz menekankan bahawa kelulusan pengimportan Guarana tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

1. Pemeriksaan Verification of Compliance (VOC) dan rawatan kuarantin di Brazil dan negara transit (negara bukan pengeluar getah) selaras dengan garis panduan standard antarabangsa iaitu International Standards for Phytosanitary Measures 20 (ISPM 20);

2. Sijil fitosanitasi (PC) dari negara asal iaitu Brazil dan sijil fitosanitasi eksport semula (re-export PC) dari negara transit;

3. Pemeriksaan oleh Pegawai Pemeriksa atau Pegawai Penguatkuasa di pintu masuk; dan

4. Syarat kuarantin selepas masuk (Post Quarantine) untuk tempoh 6 bulan di premis yang diluluskan oleh Pengarah Pertanian Negeri Sabah.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan dan memerlukan pencerahan berhubung tanaman Guarana hendaklah merujuk terus kepada Jabatan Pertanian Sabah,” nasihat Junz.-SabahNewsToday