Pilih Bahasa

Tidak ada keperluan untuk memikirkan semula pendirian kerajaan negeri – Shafie

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak melihat wujud keperluan memikirkan semula ketetapan pendirian kerajaan negeri yang sudah dinyatakan sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri berkata sudah cukup jelas menyatakan kerajaan negeri tetap bakal bekerjasama dengan kerajaan persekutuan (Government to Government) untuk kepentingan rakyat.

Mohd Shafie ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan
Penerangan

“Saya tidak perlu memikirkan semula pendirian ini. Jangan cakap bila saya memikirkan semula pendirian, tindakan itu akan menstabilkan keadaan politik negara kerana perubahan bukan boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Kerjasama antara jabatan persekutuan dan negeri akan terus digalakkan untuk kebaikan rakyat. Segala keputusan adalah demi kepentingan negara bukan kepentingan politik saya,” katanya ketika sidilang media selepas merasmikan Karnival Kesihatan Awam Peringkat Negeri 2020, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mahukan beliau memikirkan semula pendirian politiknya yang menyatakan sokongan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan beliau tidak mahu penyakit politik di Semenanjung merebak ke negeri berkenaan.

“Saya tidak mahu memberikan sokongan hanya disebabkan terikut-ikut demi inginkan pangkat dan jawatan. Jika kita asyik lompat sana, lompat sini, selama mana kita begitu.

“Mereka mahu saya memikirkan semula pendirian saya? Adakah itu budaya kita?,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Shafie yang mengulas lanjut kenyataan sama menyatakan beberapa perancangan sudah dilakukan selepas mengambil tampuk pemerintahan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun perancangan berkenaan tidak boleh dilihat dalam jangka masa satu hingga dua tahun.

Beliau berkata atas sebab itu Mohd Shafie menjelaskan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan penting untuk kemajuan negeri. –SabahNewsToday