Pilih Bahasa

Tidak ada masalah tempatkan pegawai SPRM di KKTP: Jaujan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jaujan menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KKTP di Wisma Innoprise. – Gambar SNT/SItti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Penempatan seorang pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPRM) di setiap kementerian di negeri ini boleh dilaksanakan bagi membanteras salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong berkata pihkanya mengalu-alukan langkah itu untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan yang boleh mencemarkan nama baik kerajaan negeri.

“Kita tidak ada masalah kalau diletakkan pegawai SPRM di kementerian ini, bahkan bukan sahaja di KKTP tapi kalau boleh di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana banyak cabaran kita hadapi di situ.

“Hari ini cabaran kita amat besar apabila melibatkan salah guna kuasa tetapi apa yang penting kita mahu melahirkan negara bebas rasuah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KKTP di Wisma Innoprise di sini, hari ini.

Jaujan menyampaikan amanat beliau dihadapan para pegawai kanan kementerian itu dan PBT seluruh Sabah di Wisma Innoprise. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya KKTP mempunyai perancangan untuk meletakkan pegawai SPRM di kementerian tersebut.

Sabah merupakan negeri pertama yang mengambil langkah menempatkan seorang pegawai SPRM di Jabatan Ketua Menteri (JKM) memastikan kakitangan kerajaan tidak terjerumus gejala rasuah.

Jaujan berkata langkah membanteras gejala rasuah merupakan sebahagian daripada aspek utama yang dititikberatkan oleh kerajaan negeri hari ini dalam memajukan negara terutama Sabah. – SabahNewsToday