Pilih Bahasa

TIDAK BENAR 5,000 AHLI UMNO KINABATANGAN KELUAR PARTI DI SANDAKAN

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Umno Kinabatangan menafikan seramai 5,000 orang ahlinya telah keluar daripada parti dan masuk ke dalam Parti Warisan Sabah.

Ketua Penerangan Umno Kinabatangan Titing Putang mendakwa lebih kurang 200 orang sahaja yang hadir dalam majlis penyerahan borang keahlian kepada setiausaha agung Warisan Loretto Padua Sipin Jr di Sandakan kelmarin.

Titing Putang. Gambar Fail SNT

“Saya amat kecewa dan membidas kenyataan  mantan Ketua Cawangan Api Api Basri Osman dan Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah yang agak keterlaluan dengan menyatakan bahawa lebih kurang 5,000 ahli Umno bahagian Kinabatangan keluar parti,” kata Titing.

Titing yang juga Pegawai Perhubungan kepada Ketua Umno Sabah menegaskan Umno Kinabatangan masih kukuh dan relevan.

Katanya walaupun Umno Sabah kini menjadi pembangkang tetapi ahli-ahli peringkat akar umbi masih mempercayai keupayaan parti itu.

“Lebih-lebih lagi Umno Sabah kini diterajui oleh  pengerusi perhubungan baharu iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Ahli Parlimen Kinabatangan dan juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan,” katanya.

“Apapun yang berlaku pada ketika ini adalah hak dan pendirian masing-masing dan jangan menyalahkan parti Umno jika tidak merasa ‘serasi dan ‘sesuai’ dengan perjuangannya,” katanya.

Dalam laporan kelmarin, Loretto berkata
lebih 5,000 ahli Umno dari 76 cawangan bahagian Kinabatangan dan Sandakan mengisytihar keluar parti dan menyertai Warisan.

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr yang menerima borang keahlian berkenaan mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam Warisan dan menjangkakan lebih ramai akan mengambil tindakan yang sama.-SabahNewsToday