Pilih Bahasa

Tidak halang pergerakan antara daerah : Shafie

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tiada halangan berkaitan pergerakan rakyat antara daerah di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berbuat demikian disebabkan Sabah sudah tidak merekodkan kawasan zon merah.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT

“Kita tidak pernah menghalang polis daripada melakukan peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita meminta PDRM mengetatkan kawalan di semua kawasan yang pernah dicatatkan sebagai zon merah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Dividen dan Bantuan Khas Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Kepada Peneroka, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui LKTNS menyampaikan dividen serta elaun sara hidup berjumlah RM1.05 juta kepada 1,533 orang ketua isi rumah (KIR) yang juga peserta Projek-projek Sosio Ekonomi di bawah LKTNS.

Sumbangan sama turut diberikan kepada 892 orang peneroka  Skim-Skim Rancangan Peneroka  LKTNS di seluruh Sabah.

Selain itu, LKTNS juga menyediakan bantuan khas Covid-19 berupa makanan keperluan asas yang bernilai RM112,830 kepada semua peserta dan peneroka yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, ditanya samaada kerajaan negeri bersetuju notis dikeluarkan PDRM berkaitan kebenaran empat individu berada di dalam satu kenderaan, Mohd Shafie berkata pihaknya tiada sebarang masalah mengenai perkara itu.

“Seperti yang diumumkan semalam kita di peringkat negeri akan melakukan persediaan sehingga 12 Mei ini dalam usaha menyuburkan ekonomi,” katanya. -SabahNewsToday