Pilih Bahasa

TIDAK PANDANG RENDAH KEPADA PIHAK LAWAN RESIPI KEJAYAAN TAMBADAU

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kemenangan bergaya menentang PDRM semalam menunjukkan Sabah berpotensi untuk pergi jauh pada musim ini.

Melahirkan kesyukuran dengan kemenangan 3-1 keatas PDRM, pengendali skuad Tambadau Jelius Ating memberi kredit penuh kejayaan itu kepada anak-anak buahnya.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating. – Gambar SNT / Ehsan Raymond Henry Gusi

“Syukur kita menang lagi. Pemain menunjukkan sikap yang betul dan tidak memandang rendah pihak lawan.

“Pemain bermain seperti yang kita harapkan dan berhak menang perlawanan ini,” katanya.

Para pemain skuad Tambadau turut menunjukkan kemahuan yang tinggi untuk menang, kata Jelius

Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan Sabah menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Malaysia 2019 selepas lima perlawanan dengan mengumpul 10 mata melalui tiga kemenangan dan satu seri iaitu hanya dua mata dibelakang pasukan teratas, JDT II.

Jelius menyifatkan gol awal pada minit ke-empat perlawanan semalam sebagai penyuntik semangat pasukan Tambadau.

Gol pertama Sabah dijaringkan oleh Luiz Carlos Junior melalui tendangan percuma yang melencong ke sebelah kanan gawang PDRM.

Kedudukan kemudian bertukar 2-0 apabila Rodoljub Paunovic menyambar hantaran lintang Maxsius Musa pada minit ke-42.

Gandingan pemain tempatan dan import Sabah gembira meraihkan gol kedua semasa menentang PDRM di Stadium Likas pada Sabtu. Gambar SNT/Ehsan SAFA

Junior menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga bagi pasukannya hanya dua minit selepas babak kedua bermula untuk Sabah mendahului PDRM dengan 3-0.

“Syabas kepada semua pemain dan terima kasih kepada pengurusan terutamanya pemangku presiden Safa yang begitu komited membantu dan menyokong pasukan,” kata Jelius.

“Terima kasih juga kepada penyokong.”

Secara amnya Jelius berpuas hati dengan persembahan pasukan tuan rumah namun masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dari segi berhadapan dengan situasi bola mati (set piece) atau tendangan sudut.

Antara aksi perlawanan Sabah menentang PDRM di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan SAFA

“Kalau kita lihat gol-gol yang kita kena adalah melalui set piece iaitu bola mati. Saya akui ini adalah sedikit kelemahan kami,” katanya.

PDRM mendapat gol saguhati melalui tendangan percuma Shahuain Abu Samah yang berjaya menghantar bola kepada Redzouic Argzim untuk menewaskan penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim dengan mudah pada minit ke-52.

Bagi menghadapi perlawanan terakhir sebelum liga berehat, Jelius akan memastikan anak buahnya bekerja keras untuk memperbaiki permainan mereka.

Skuad Tambadau akan bertandang ke Negeri Sembilan pada 9 Mac depan.-SabahNewsToday