Pilih Bahasa

Tidak perlu panik, lelaki hanya pengsan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Kelibat seorang lelaki diusung petugas perubatan yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) di bangunan pusat beli belah Centre Point, di sini, petang tadi, menimbulkan kegelisahan orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, timbul pelbagai persepsi awam sehingga ada yang mendakwa kononnya mangsa adalah pesakit Covid-19.

Lelaki yang pengsan diusung keluar dari bangunan Centre Point oleh pasukan perubatan di sini petang tadi.Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Tidak cukup dengan itu, rakaman video lelaki berkenaan diusung keluar dari bangunan Centre Point turut menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun, kejadian sebenarnya hanyalah seorang lelaki berusia 40-an terjatuh sebelum pengsan di tingkat bawah berhampiran tandas awam bangunan berkenaan.

Tinjauan hantaran dimedia sosial turut mendapat pelbagai komen yang positif dan negatif.

Namun ada juga pihak yang memaklumkan keadaan petugas kesihatan mengenakan pakaian PPE sebenarnya adalah prosedur biasa ketika ini.

Menurut sumber, lelaki terbabit dipercayai mengalami gangguan kesihatan sehingga menyebabkannya pengsan ketika berjalan-jalan di pusat beli belah berkenaan.

“Sebaik menyedari mangsa terjatuh dan pengsan, orang ramai terus menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan segera.

“Ketika itu orang ramai tidak menyentuh lelaki terbabit bagi mencegah sebarang jangkitan wabak,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Centre Point ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya pengsan dan sudah dirujuk ke hospital untuk tindakan selanjutnya. – SabahNewsToday