Pilih Bahasa

TIDAK PERNAH PUTUS ASA UBAH NASIB DIRI – PELATIH PROGRAM KHAS ANAK NEGERI

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Frinle Modili menunjukkan karya batik yang dihasilkan sepanjang mengikuti kursus jangka pendek anjuran Koleh Universiti Yayasan Sabah (UCSF) di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Walaupun pernah dibuang sekolah pada tingkatan empat berikutan masalah disiplin namun ia bukan penghalang buat salah seorang pelatih Program Khas Anak Negeri (PKAN) 2018 anjuran Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) meneruskan hasrat menimba ilmu dalam bidang seni lukis.

Frinle Modili, 20, berasal daripada Kampung Tomis Jaya, Tamparuli berkata dia tidak mahu kesilapan lampau ketika zaman persekolahan sentiasa menghantui dirinya sehingga gagal mengubah masa depan.

Batik yang dihasilkan oleh Frinle menarik perhatian pengunjung Borneo Art Newcomers (BANCO) 2019, Program Khas Anak Negeri Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Mohd Nazllie Zainul

Frinle berkata penglibatan dalam program PKAN itu adalah salah satu usahanya bagi memajukan diri selain mahu mengubah taraf ekonomi keluarga.

“Saya sedar alam persekolahan saya kurang baik sekiranya mahu dibandingkan dengan orang lain tetapi bukan bermakna masa depan tiada untuk diri.

Elza Emerald Justin menunjukkan salah satu lukisan dihasilkannya sepanjang mengikuti kursus jangka pendek anjuran Koleh Universiti Yayasan Sabah (UCSF) di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Mengikuti program ini menerusi pengkhususan seni kreatif botanik juga pendekatan baru buat saya kerana selama ini hanya sering menghasilkan lukisan catan.

“Semuanya bermula dengan kosong tanpa sebarang asas berkaitan seni batik namun saya belajar sedikit demi sedikit sehingga boleh melihat hasilnya sekarang,” katanya yang mengikuti kursus jangka pendek itu selama setahun bermula Mac tahun lalu.

Hasil seni Elza Emerald Justin membuktikan Sabah juga tidak kekurangan bakat anak seni yang kreatif. – Gambar SNT / Mohd Nazllie Zainul

Anak keempat daripada tujuh beradik itu menyatakan pembelajaran yang ditawarkan semasa mengikuti program itu termasuklah mempelajari asas selama enam bulan serta lanjutan enam bulan kemudian.

Dalam pada itu, bersyukur sentiasa mendapat dorong daripada keluarga sepanjang latihan, Frinle merancang untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian sebelum meneruskan pengajian berkaitan seni di peringkat lebih tinggi.

Frinle antara 70 orang pelatih di bawah PKAN 2018 yang berjaya menamatkan kursus jangka pendek berkena membabitkan tiga pengkususan seperti seni visual catan, seni visual arca dan seni kreatif botanik.

Acara disempurnakan oleh Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zolkopli Dahalan yang turut dihadiri Naib Canselor UCSF, Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi dan Timbalan Naib Canselor UCSF, Dr Alan Lim.

Semua karya akhir pelatih program terbabit dipamerkan sempena Borneo Art Newcomers (BANCO) 2019 yang bertempat di UCSF.

Sementara itu, seorang lagi pelatih PKAN 2018, Elza Emerald Justin, 23, penyertaan dirinya dalam program terbabit hanya untuk menambah ilmu berkaitan seni lukis yang diminati sejak persekolahan.

Turut dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik, Elza berkata melukis memang sudah menjadi sebahagian jiwanya namun melupakan seketika disebabkan memberi lebih tumpuan kepada pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Politeknik Kota Kinabalu selepas tamat persekolahan.

“Saya tamat pengajian pada tahun 2017 namun perlu menunggu setahun untuk majlis konvokesyen. Dalam tempoh itu, pemikiran untuk menambah ilmu berkaitan hobi saya sentiasa bermain diminda. 

“Secara kebetulan, saya terlihat iklan kemasukkan ke kursus ini pada hari terakhir pendaftaran. Tanpa membuang masa, saya terus datang ke sini untuk mendaftar dan kini berasa lebih puas kerana banyak pengetahuan berkaitan seni lukis dipelajari,” katanya menyimpan cita-cita memiliki galeri sendiri serta memgadakan pameran solo suatu hari nanti. – SabahNews Today