Pilih Bahasa

Tiga beranak cedera dalam kemalangan di Jalan Merotai

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Keadaan di lokasi kejadian. Kemalangan mengakibatkan tiga sekeluarga cedera. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

TAWAU: Tiga sekeluarga yang dalam perjalanan balik selepas sembahyang Krismas di Gereja Brentian cedera dalam kemalangan jalanraya di Manusi Jalan Merotai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata mangsa dikenal pasti sebagai Damaris Makah, 37, dan dua anaknya iaitu Kerin, 10, dan Kia Aloha Kenneth, dua tahun.

Menurut Fadil, suami mangsa iaitu seorang Paderi yang juga pemandu kenderaan Proton Iswara Aeroback dan pemandu Proton Satria Neo tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, wanita berkenaan yang mengalami retak buku lali serta anak lelaki dan perempuannya masing-masing patah kaki kiri dan cedera ringan, masih dirawat di Hospital Tawau.

“Siasatan awal mendapati kejadian pada pukul 2.30 petang itu berpunca daripada pemandu Satria Neo yang gagal mengawal kenderaan untuk mengelak daripada melanggar lubang.

“Difahamkan, kejadian berlaku ketika suspek yang juga seorang lelaki berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah pasar raya Giant Tawau menghala ke Merotai manakala mangsa sekeluarga dari Gereja Brentian menuju ke Kampung Pasir Putih.

“Apabila sampai di tempat kejadian, suspek cuba mengelak dari melanggar lubang telah hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan sebelah kanan dan telah melanggar kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday