Pilih Bahasa

Tiga beranak rentung dalam kebakaran di Sandakan

Oleh Junaidi Ladjana

SANDAKAN: Tiga beranak rentung dalam kebakaran membabitkan kira-kira 20 buah rumah setinggan yang dibina di atas air di Kampung Seng Kee, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa rentung iaitu Afikah Sulaiman, 20, dan dua anaknya Nurul Katrishah Aiman, tiga tahun dan Mohd Sharil Aiman, 12 bulan.

Pasukan bomba mengangkat salah seorang mangsa rentung dalam kebakaran di Kampung Seng Kee, Sandakan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Sementara itu, suami mangsa, 20-an, melecur di bahagian siku tangan kanan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 pagi dan menghantar sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan pemadaman segera dijalankan oleh pasukan bomba.

“Api berjaya dikawal jam 7.36 pagi dan pemeriksaan mendapati tiga mangsa rentung,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudian dikeluarkan dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera turut dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

“hasil pemeriksaan lanjut kebakaran memusnahkan hampir 20 buah rumah setinggan yang dibina di atas air,” katanya.

Katanya, operasi menyelamat tamat jam 10.31 pagi tadi.

“Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – SabahNewsToday